SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan menegaskan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, tidak boleh diputuskan secara sewenang-wenangnya oleh mana-mana parti politik, kerajaan negeri mahupun individu.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam satu kenyataan menegaskan, sebarang perkara yang menyentuh kedudukan institusi beraja negeri perlu ditangani berdasarkan adat, prerogatif serta peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pendirian itu dinyatakan susulan perkembangan terbaharu berhubung proklamasi yang dikaitkan dengan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
UMNO Negeri Sembilan turut mengambil maklum penjelasan dan pendirian Undang Yang Empat yang disampaikan menerusi sidang media semalam.
“Perkara yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukanlah perkara yang boleh ditentukan oleh mana-mana parti politik, kerajaan negeri atau mana-mana individu secara bersendirian,” menurut kenyataan itu.
Menurut UMNO Negeri Sembilan, sebarang pertikaian berkaitan institusi negeri perlu diselesaikan menerusi saluran adat dan perundangan yang sah serta telus, selain memastikan struktur perlembagaan negeri terus dihormati.
Parti itu pada masa sama memberi amaran bahawa rakyat tidak seharusnya terus dibelenggu dengan pertikaian berpanjangan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian negeri.
“Keutamaan mesti diberikan kepada kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan keharmonian masyarakat,” katanya.
UMNO Negeri Sembilan turut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan selaras dengan pendirian parti yang menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu.
Sehubungan itu, satu mesyuarat khas akan diadakan selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2026 bagi menyelaras isu berkaitan adat secara harmoni.
Dalam pada itu, UMNO Negeri Sembilan menggesa rakyat supaya tidak membuat sebarang kesimpulan terburu-buru dan memberikan ruang kepada proses yang sewajarnya untuk menangani perkara berkenaan.
“UMNO Negeri Sembilan akan terus mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan serta menghormati adat dan perlembagaan negeri,” katanya.










