UMNO Mahu Bangkit Dengan Kekuatan Sendiri, Bukan Bergantung PH, PN Atau DAP

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan menjadikan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), PAS mahupun DAP sebagai ‘talian hayat’ politiknya, sebaliknya mahu membina semula kekuatan parti berteraskan kemampuan sendiri.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kelangsungan parti tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada kekuatan atau percaturan politik pihak lain kerana ia hanya memberi keuntungan jangka pendek, tetapi berisiko membawa kerugian lebih besar dalam tempoh panjang.

“UMNO sangat menyedari bahawa ia tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH atau PN. Tidak PAS. Apatah lagi DAP.

“UMNO punya harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya. UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.

Menurut Mohamad, UMNO berada dalam ‘mod bertahan hidup’ sejak kehilangan kuasa pada 2018 dan terpaksa meneroka pelbagai pendekatan politik bagi memastikan parti terus relevan.

Katanya, penyertaan UMNO dalam beberapa kerajaan sejak 2020 merupakan keputusan strategik, namun pengalaman itu turut mengajar parti supaya tidak terus bergantung kepada pihak lain.

Dalam masa sama, Mohamad menegaskan UMNO tidak pernah menutup pintu kepada usaha menyatukan politik Melayu-Islam merentasi parti dan ideologi.

Bagaimanapun, katanya, sebarang bentuk kerjasama mesti mempunyai hala tuju yang jelas, ikhlas dan berteraskan kepentingan strategik Melayu-Islam, bukannya bersifat sementara, bermusim atau mengambil kesempatan terhadap kelemahan UMNO.

“Penyatuan politik Melayu itu boleh berlaku pada bila-bila masa, dalam apa jua keadaan,” katanya.

Mohamad berkata, kerjasama berkenaan juga mesti berpaksikan visi ‘Rumah Bangsa’ yang dipelopori UMNO, dengan parti itu memainkan peranan sebagai asas dan tiang seri kepada penyatuan tersebut.

“Kerjasama ini mesti dinaungi oleh UMNO. Ia mesti menjadikan UMNO itu asas, tiang seri dan prinsip utuh yang mengikat semua kepada kepentingan Melayu,” katanya.

Beliau menegaskan penyatuan Melayu tidak semestinya diterjemahkan melalui pembentukan perikatan politik baharu, sebaliknya boleh dilaksanakan secara fleksibel mengikut keperluan dan perhitungan politik semasa.

Mohamad berkata UMNO akan terus membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mahu menggagaskan kesatuan Melayu, namun parti itu tidak akan menggadaikan maruah dan kebebasan menentukan haluan politiknya.

Justeru, katanya, keutamaan UMNO kini adalah membina semula kekuatan dalaman sehingga mampu berdiri kukuh tanpa bergantung kepada mana-mana parti sebagai jaminan kelangsungan politik.

BBerkaitan

Latest articles