Tok Mat: UMNO Bukan Parti Radikal, Kerjasama Melayu Tidak Boleh Singgung Kaum Lain

KUALA LUMPUR: UMNO akan terus menjadi parti yang centrist dengan memilih jalan pertengahan dan sederhana, tanpa condong ke kiri atau kanan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, pendirian itu penting dalam memastikan sebarang ruang kerjasama antara parti Melayu pada pilihan raya tidak menimbulkan keresahan atau menyinggung kaum lain, termasuk masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat, UMNO mahu mengimbangi idea dasar dari kedua-dua sisi spektrum politik tanpa mengorbankan prinsip kesederhanaan yang menjadi asas perjuangannya.

“Jangan sesekali kita memikirkan pengundi kita hanya Melayu.

“Tindakan dan perilaku kita jangan sesekali membuka ruang kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu serta rakan kita di Sabah dan Sarawak.

“Mereka sekarang menjadi kuasa penentu. Era kita menganggap mereka sebagai deposit simpanan tetap sudah tinggal kenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.

Mohamad berkata, dalam keadaan politik negara yang semakin mencabar, UMNO memerlukan keyakinan pengundi bukan Melayu selain sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan.

Katanya, kebimbangan dalam kalangan kelompok berkenaan perlu difahami terutama apabila politik Melayu-Islam dilihat semakin menjadi domain utama dalam percaturan politik negara.

“Ramai dalam kalangan bukan Melayu dan rakan di Sabah dan Sarawak yang bimbang ke mana Malaysia ini akan terarah apabila politik Melayu Islam itu menjadi domain yang terlihat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan spektrum pendirian UMNO sudah jelas selepas puluhan tahun parti itu mengurus dan mentadbir negara berlandaskan dasar, pendirian serta keutamaan yang sederhana.

Justeru, katanya, mana-mana pihak yang mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO perlu menerima prinsip kesederhanaan dan pendirian pertengahan parti berkenaan.

“Anda tidak boleh memaksa ideologi konservatif atau radikal anda ke atas UMNO,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata bangsa Melayu akan terus menjadi bangsa keindukan yang menyediakan ruang dan peluang kepada semua masyarakat.

Beliau memberi jaminan UMNO akan memastikan Malaysia kekal sebagai tanah air untuk semua, selain ditadbir secara teliti dan makmur selaras dengan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Politik Melayu akan kami uruskan secara matang dan sama sekali tidak akan menjadi beban dan ancaman, mahupun penafian hak dan kepentingan kalian.

“Insya-Allah, Malaysia yang kita cita-citakan ialah Malaysia yang aman sentosa dan saling melengkapi antara semua kaum,” katanya.

Mohamad turut memberi jaminan khusus kepada masyarakat bukan Melayu serta Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak bahawa UMNO akan terus memperjuangkan pentadbiran negara yang adil berteraskan semangat perpaduan.

BBerkaitan

Latest articles