Peguam Nafi Azeez Sengaja Pilih Baju Lokap, Gari Ketika Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR: Peguam kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, menafikan anak guamnya secara sukarela memilih untuk hadir ke mahkamah dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bergari seperti yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad, berkata Abdul Azeez pada mulanya dibenarkan memakai pakaian biasa sebelum dibawa keluar dari lokap polis.

Bagaimanapun, katanya, Abdul Azeez kemudian diarahkan menukar kepada pakaian lokap bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Beliau kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 bagi permohonan reman polis sambil memakai pakaian tersebut dan perintah reman selama dua hari diluluskan terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Amer Hamzah, Abdul Azeez, yang juga bekas Ketua Putera UMNO dan bekas Ahli Parlimen Baling, kekal di bawah jagaan PDRM sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, gari yang dipakaikan kepada Abdul Azeez juga adalah milik polis dan bukan SPRM.

“Selepas prosiding reman, Abdul Azeez terus dibawa dari Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 bagi pembacaan pertuduhan SPRM terhadapnya.

“Sepanjang tempoh itu, termasuk semasa pemindahan dari satu mahkamah ke mahkamah lain, anak guam kami kekal di bawah tahanan polis.

“Beliau tidak dibebaskan daripada tahanan polis di antara kedua-dua prosiding dan tidak diberi sebarang peluang untuk menukar pakaian lokap sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9,” katanya kepada Malaysiakini.

Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan SPRM berhubung penampilan Abdul Azeez di mahkamah dengan memakai pakaian lokap dan gari.

SPRM sebelum ini menjelaskan bahawa pemakaian tersebut adalah pilihan Abdul Azeez sendiri dan bukannya atas arahan agensi berkenaan.

Menurut SPRM, sebelum dibawa ke mahkamah, Abdul Azeez telah dinasihati pegawai SPRM, pegawai polis yang mengiringinya serta peguamnya supaya menukar kepada pakaian biasa.

Beliau juga, menurut SPRM, dimaklumkan bahawa tidak perlu memakai gari.

“Bagaimanapun, dia berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan,” kata agensi itu.

SPRM turut menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap Abdul Azeez bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM.

Namun, Amer Hamzah berkata pihaknya “keliru” dengan kenyataan SPRM tersebut.

“Bagi mengelakkan sebarang keraguan, anak guam kami berada di bawah tahanan PDRM sepanjang masa, dan pakaian lokap serta gari berkenaan berpunca daripada tahanan polis tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan sebarang dakwaan bahawa Abdul Azeez secara sukarela memilih untuk tampil dalam keadaan berkenaan adalah tidak benar serta boleh memberi gambaran mengelirukan mengenai keadaan sebenar ketika anak guamnya dibawa ke mahkamah.

Amer Hamzah turut berkata Abdul Azeez, 59, mempertahankan semua haknya, termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa mencipta, menyiarkan, menyebarkan atau meneruskan naratif palsu atau mengelirukan berhubung insiden itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Tabung Haji pada 2014 untuk menerima suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana yang menawarkan ganjaran RM690,000 setahun, selain sebuah kereta BMW Siri 7 serta pemandu peribadi.

Abdul Azeez bagaimanapun menafikan pertuduhan tersebut dan memilih untuk dibicarakan.

BBerkaitan

Latest articles