Syabu, Ketum Jadi Pilihan Baharu Pemandu Kenderaan Berat, Tingkat Risiko Nahas – AADK

KUALA LUMPUR: Penyalahgunaan dadah jenis syabu dan ketum kini dikenal pasti sebagai trend baharu dalam kalangan pemandu, termasuk pemandu kenderaan perdagangan, dengan bahan terlarang itu dipercayai digunakan bagi mengekalkan tenaga ketika bekerja dalam tempoh yang panjang.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, corak penyalahgunaan itu semakin ketara sejak lima tahun kebelakangan ini dan secara tidak langsung meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, situasi tersebut turut dibuktikan menerusi operasi bersepadu pengesanan dadah terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang dijalankan di seluruh negara semalam.

Katanya, daripada 244 pemandu yang menjalani saringan, seramai 22 individu berusia antara 21 hingga 61 tahun didapati positif dadah sebelum ditahan.

“Daripada jumlah itu, 14 pemandu didapati positif syabu, enam positif ketum manakala dua lagi positif ganja.

“Kebanyakan mereka mengambil bahan terlarang itu untuk kekal bertenaga dan mampu memandu atau bekerja lebih lama. Syabu bertindak sebagai perangsang, manakala ketum pula kini semakin menjadi pilihan bagi mengekalkan stamina ketika memandu,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, malam tadi.

Operasi selama 10 jam bermula jam 8 pagi itu dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama AADK, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Turut hadir ialah Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramly.

Ruslin berkata, kesan penggunaan dadah bukan sahaja menyebabkan pemandu hilang kawalan apabila berada dalam keadaan khayal, malah boleh mengakibatkan mereka tidak sedarkan diri apabila kesan bahan berkenaan mula berkurangan.

Beliau berkata, keadaan itu meningkatkan risiko berlakunya kemalangan yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyalahgunaan dadah melibatkan semua peringkat umur, namun kadar penagihan paling tinggi direkodkan dalam kalangan individu berusia antara 19 hingga 39 tahun yang mewakili kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes.

Pada masa sama, katanya, penggunaan dadah sintetik seperti syabu, ketamin dan ekstasi kini mencatat kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan kes penagihan, sekali gus menunjukkan perkembangan yang membimbangkan.

Sementara itu, Aedy Fadly menegaskan JPJ tidak akan berkompromi terhadap pemandu yang didapati positif dadah, termasuk mengambil tindakan menggantung lesen memandu dan lesen vokasional (PSV atau GDL) sementara siasatan dijalankan.

Beliau berkata, syarikat pengangkutan juga tidak akan terlepas daripada tindakan sekiranya didapati gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Semua laporan akan dikemukakan kepada APAD untuk tindakan lanjut. Pengendali yang melanggar syarat lesen atau menggajikan pemandu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah berdepan tindakan termasuk penggantungan lesen pengendali,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles