KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh membidas tindakan sayap pemuda DAPSY yang menyertai perhimpunan solidariti sambil membawa sepanduk menuntut penangkapan “mafia korporat”.
Akmal menegaskan bahawa tindakan itu tidak wajar memandangkan parti tersebut merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.
“Menteri dalam negeri dari PKR. PKR juga dalam pakatan harapan yang dalamnya ada DAP,” bidas beliau dalam hantaran di media sosialnya pada Selasa.
Beliau turut menyindir tindakan sayap pemuda itu yang memilih untuk berhimpun di jalanan berbanding menggunakan saluran pentadbiran yang ada bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Tidak perlu turun demo, minta sahaja menteri kamu buat kerja, maka tertangkaplah mafia korporat tu,” ujar beliau.
“Ni demo nak cakap menteri dan kerajaan kamu tidak buat kerja ke? Ke kamu masih nak berlakon jadi pembangkang?” tambahnya lagi dengan nada tegas.
Akmal turut memberi amaran bahawa sikap separuh kerajaan dan separuh pembangkang yang diamalkan boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan serta menolak mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Terdahulu, DAPSY Negeri Sembilan dilaporkan hadir menyertai Himpunan RCI Mafia Korporat & Hands Off NGO di hadapan Kompleks Membeli-Belah SOGO, Kuala Lumpur, bagi menyatakan solidariti bersama masyarakat sivil dan NGO.










