KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima sebarang tawaran kerjasama daripada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, PH sebaliknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain, kecuali BN dan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, pendirian itu bermakna PH akan menghadapi PRN Melaka berasaskan prinsip serta pendirian politik yang diperjuangkannya.
“Buat masa ini, kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti selain BN dan PN.
“Kita tidak akan terima tawaran untuk bersama BN. Jika BN mahu bersama dengan PN, itu hak dan terpulang kepada mereka.
“Bagi PH, kami akan bertanding atas prinsip yang kami perjuangkan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Pendirian Khalid itu hadir ketika spekulasi mengenai kemungkinan jajaran baharu politik di Melaka semakin hangat susulan pertemuan beberapa pemimpin PH dan Bersatu dalam satu majlis makan malam tertutup di sebuah hotel di negeri itu, malam kelmarin.
Antara yang dilaporkan hadir ialah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya Bersatu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Seri R. Sanjeevan dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim.
Turut hadir Ketua Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat dan Pemangku Ketua PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan setakat ini belum ada perbincangan rasmi antara PH dan Bersatu berhubung kerjasama menghadapi PRN Melaka.
Fahmi berkata, beliau sendiri tidak menghadiri pertemuan berkenaan dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik PH akan diputuskan melalui Majlis Presiden PH dan setakat ini belum ada perkembangan rasmi mengenai perkara itu.










