PUTRAJAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap budaya perbincangan dan perdebatan yang semakin berbentuk pertelagahan tanpa adab dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.
Sultan Nazrin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah, keadaan itu semakin membimbangkan apabila berita yang belum disahkan disebarkan tanpa menghiraukan dosa, aib dibuka dan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan.
”Sangat mendukacitakan, malah bertambah mengaibkan, ketika ini kita menyaksikan perbincangan dan perdebatan, yang lebih berbentuk pertelagahan tanpa adab, sedang dan semakin berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini,” titah baginda pada Mesyuarat MKI Ke-75, hari ini.
Baginda menegaskan, bangsa Melayu dan umat Islam kini sedang menghadapi krisis adab yang tidak boleh dipandang ringan kerana keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula daripada kejatuhan nilai serta akhlaknya.
Justeru, baginda menyeru agar masyarakat dididik untuk membudayakan sikap mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menghukum dan meneliti sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.
”Kita boleh tidak bersetuju tanpa perlu menghina. Kita boleh menegur tanpa mengaibkan.
“Kita boleh mempertahankan kebenaran tanpa kehilangan kebijaksanaan dan rasa belas ihsan,” titah baginda.
Baginda turut menekankan kepentingan memperkukuh budaya syura dan adab di peringkat keluarga, institusi pendidikan, organisasi, masjid, pentadbiran serta seluruh masyarakat.
Menurut baginda, keberanian bukan sekadar bersuara, sebaliknya merangkumi kesediaan mendengar, mengakui kesilapan dan menerima kebenaran walaupun daripada pihak berbeza pandangan.
”Syura yang disertai adab akan melahirkan keputusan bijaksana, kepimpinan yang adil dan masyarakat yang matang.
”Sesebuah masyarakat tidak menjadi kuat kerana semua anggotanya mempunyai pandangan yang sama, tetapi kerana berdaya dan berhikmah mengurus perbezaan dengan ilmu, kesabaran serta rasa hormat,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut berharap MKI menjadi contoh badan yang menghidupkan syura sebagai budaya dan menjadikan adab sebagai keperibadian menerusi amalan mendengar menggunakan hati, berbicara dengan hikmah dan kekal bersaudara.
Baginda turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadi insan yang hanya mahu didengar tetapi enggan mendengar, mudah menghukum tanpa memahami, atau berbicara mengenai perpaduan sedangkan kata-kata sendiri menyalakan perpecahan.










