KUALA PILAH: Seorang pelajar Tingkatan Dua dipercayai dipukul menggunakan getah paip dan tangan oleh pelajar senior sehingga tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di sebuah asrama sekolah di daerah ini, 25 September lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata kejadian berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Maghrib di surau sebelum dipanggil seorang pelajar senior ke biliknya.
Menurutnya, mangsa kemudian diarahkan mengambil sebatang getah paip dari bilik air sebelum dibawa ke bilik pelajar berkenaan.
“Di dalam bilik itu, mangsa dipercayai dipukul beberapa kali menggunakan getah paip pada bahagian tapak kaki.
“Mangsa kemudiannya diarahkan berdiri dan membuka baju sebelum dipukul menggunakan tangan pada bahagian depan dan belakang badan sehingga rebah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, seperti dilaporkan Sinar Harian.
Alzafny berkata, suspek dipercayai panik selepas melihat mangsa terbaring dan kemudian mengangkatnya ke atas katil sebelum cuba memberikan bantuan pernafasan.
Suspek turut menghubungi warden asrama bagi memaklumkan keadaan mangsa sebelum pelajar itu dibawa ke hospital.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, sebelum ini dilaporkan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Seremban.
Dalam perkembangan siasatan, polis setakat ini telah merakam keterangan 51 pelajar, empat guru dan lima warden bagi membantu melengkapkan siasatan.
Polis turut menahan reman dua pelajar lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek utama, pelajar lelaki berusia 16 tahun, direman dari 26 September hingga 1 Oktober, manakala seorang lagi suspek ditahan reman dari 28 September hingga 3 Oktober.










