Anwar: Isu Pelarian Myanmar Ditangani, Keselamatan Rakyat Diutamakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan isu pelarian Myanmar akan ditangani secara menyeluruh dengan keselamatan serta kepentingan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan lebih tersusun, penyelarasan antara agensi dan kerjasama dengan negara asal bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Menurut beliau, isu pelarian Myanmar bukan perkara baharu, sebaliknya legasi puluhan tahun yang memberi tekanan kepada negara dari aspek keselamatan, sosial dan pengurusan.

“Insya-Allah, saya akan memastikan isu ini ditangani secara tuntas, dengan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia diberi keutamaan, serta pelaksanaannya berlandaskan undang-undang dan nilai kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, hasil rundingan antara Malaysia dan Myanmar turut membawa kepada persetujuan penghantaran pulang 5,000 pelarian secara sukarela dan berperingkat.

Katanya, seramai 1,476 pelarian memulakan fasa pertama penghantaran pulang hari ini selepas melalui proses dan tatacara yang dipersetujui kedua-dua negara.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus mengambil langkah teratur bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan secara tuntas tanpa mengabaikan aspek keselamatan negara serta kepentingan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles