SUK Negeri Sembilan Belum Terima Surat Peletakan Jawatan Ismail

SEREMBAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan mengesahkan belum menerima sebarang surat rasmi atau pemakluman berhubung peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar setakat ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, pihaknya hanya mengetahui perkara itu menerusi kenyataan di media sosial pada 16 November lalu.

Menurutnya, tiada prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi menguruskan peletakan jawatan Menteri Besar memandangkan perkara seumpama itu belum pernah berlaku sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang perkembangan terbaharu mengenai kedudukan Ismail, termasuk hasil pertemuan beliau dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Zafir menegaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri, termasuk di Pejabat Menteri Besar dan jabatan berkaitan, terus berjalan seperti biasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Terdahulu, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Ismail, 67, yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu, dilaporkan mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 November.

BBerkaitan

Latest articles