KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid mempersoalkan pendedahan dokumen yang didakwa minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bertarikh 18 September 2026 yang kini tular di media sosial.
Beliau berkata, perkara yang perlu diberikan perhatian bukan sahaja kandungan minit mesyuarat berkenaan, sebaliknya bagaimana dokumen yang dikatakan sulit itu boleh didedahkan kepada umum.
Menurutnya, sehingga kini belum jelas siapa yang mendedahkan dokumen berkenaan, pihak yang menukar klasifikasinya daripada sulit kepada terbuka atau sama ada pendedahan itu dilakukan tanpa kebenaran.
“Menarik. Dokumen yang dikatakan sulit boleh pula jadi tatapan umum.
“Tapi hingga sekarang, belum jelas siapa yang benar pendedahannya. Siapa yang tukar klasifikasinya daripada SULIT kepada TERBUKA. Atau adakah ia didedah tanpa kebenaran?” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Rafique berkata, Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 memperuntukkan kuasa pengelasan semula dokumen oleh menteri atau pegawai awam yang diberi kuasa.
Bagaimanapun, katanya, sama ada peruntukan itu terpakai kepada dokumen berkenaan dan kesahihan pendedahannya perlu ditentukan terlebih dahulu.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perhatian media lebih tertumpu kepada kandungan minit mesyuarat yang didakwa menunjukkan bantahan Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan terhadap cadangan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam pada itu, Rafique membangkitkan persoalan mengenai masa pendedahan dokumen berkenaan yang berlaku selepas Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan dalam pilihan raya di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya minit mesyuarat bertarikh 18 September 2026 diberikan perhatian, sedangkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-60 pada 8 Disember 2023 dan Ke-61 pada 29 Januari 2024 juga penting untuk memahami keseluruhan proses pengampunan Najib.
“Kita masih ingat kenyataan PMX Anwar Ibrahim di Parlimen mengenai peranannya membawa isu pengampunan Najib untuk pertimbangan ketika Al-Sultan Abdullah mempengerusikan Lembaga Pengampunan.
“Kalau begitu, apakah sebenarnya yang direkodkan dalam minit mesyuarat terdahulu? Adakah kandungannya selaras dengan penjelasan yang pernah diberikan kepada Parlimen?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan penjelasan menyeluruh perlu diberikan menerusi saluran yang sah dengan mengambil kira aspek kerahsiaan serta peruntukan undang-undang berkaitan.
Rafique berkata, prinsip ketelusan tidak sepatutnya bergantung kepada dokumen tertentu yang hanya menguntungkan pihak tertentu, sebaliknya semua rekod berkaitan wajar diteliti melalui proses yang dibenarkan undang-undang.
“Kalau satu minit boleh dipersoalkan, mengapa minit yang lain tidak boleh diteliti melalui proses yang sah?
“Kalau benar mahu rakyat tahu perkara sebenar, beri penjelasan menyeluruh. Bukan hanya bahagian terpilih yang sesuai dijadikan tajuk berita.
“Pendedahan terpilih bukan tanda ketelusan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan terlalu awal berhubung pendedahan tersebut.
“Kalau berani dan benar, dedahlah rahsia. Jangan pilih sekerat-sekerat untuk tunjuk suci pihak-pihak tertentu,” katanya.










