Sudah-sudahlah Main Isu Kaum, DAP Diberitahu

KUALA LUMPUR: Perpaduan kaum tidak dapat dicapai sepenuhnya jika rakyat asyik dimomokkan dengan isu-isu yang sengaja direka, terutama oleh DAP.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kempen yang dilakukan veteran DAP, Lim Kit Siang berisiko menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Pilihan raya adalah elemen terpenting demokrasi, bukan elemen yang berisiko meranapkan kebersamaan masyarakat.

“Apakah maksud beliau terdapat golongan kelas pertama, kedua atau ketiga antara kaum di negara ini?

“Beliau seolah-olah mahu menggambarkan berlaku diskriminasi dalam kalangan kaum di Malaysia.

“Sedangkan, semua menyaksikan rakyat berbilang kaum berada di pelbagai peringkat terpenting di negara ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Kata Ahmad Zahid, sosioekonomi, sosiopolitik dan segala-galanya yang menjadi acuan negara ini sejak dulu.

Malah, Barisan Nasional (BN) sebagai contoh, merangkumi pimpinan dan ahli parti terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, DAP sendiri sejak sekian lama berada dalam kancah politik Malaysia tanpa sebarang sekatan dan halangan.

“Begitu juga dalam hierarki sektor korporat serta tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Daripada golongan profesional sehingga kepada peserta ekonomi gig. Berhentilah DAP dengan anasir kempen seperti ini.

“Ketuanan Melayu mengenai keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu termaktub sejak sekian lama tanpa sedikit pun menafikan hak dan peluang kaum lain di bumi Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles