Speaker terima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari, dibatalkan selaras pembubaran Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata berikutan itu, Persidangan Kamar Khas, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas, turut dibatalkan.

“Saya telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa hari ini (10 Oktober ) yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan kuasa yang diberikan kepada Baginda di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, urusan selanjutnya terletak dalam bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen.

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang dijadual bersidang selama 32 hari, hanya sempat bersidang lima hari bermula 3 Oktober dengan tumpuan kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada Jumaat lalu (7 Oktober). – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles