SEREMBAN: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, membidas pentadbiran kerajaan negeri semasa agar tidak menggunakan taktik menuding jari atau menyalahkan kerajaan terdahulu bagi merungkai kemelut adat dan institusi Raja di negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa setiap tindakan dan keputusan yang dibuat semasa pentadbirannya sentiasa terbuka untuk dinilai berdasarkan rekod, dokumen, serta kronologi yang sah.
Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui dengan tepat apakah kesalahan sebenar yang dimaksudkan tanpa hanya menggunakan istilah umum “kerajaan terdahulu” sebagai jawapan mudah untuk menutup persoalan.
“Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya.
“Dalam perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengimbas kembali kemelut tersebut, Aminuddin mendedahkan bahawa pada 20 April 2026, ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Besar, satu dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 telah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani di bawah proses Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Walau bagaimanapun, beliau mengambil keputusan tegas untuk menolak daripada menandatanganinya berikutan wujudnya pelbagai persoalan serius mengenai proses yang telah dilalui.
Tambahnya, keputusan itu dibuat kerana Perkara 10 UUTKNS bukan sekadar menyentuh kuasa kedudukan Yang di-Pertuan Besar, malah menetapkan tatacara ketat termasuk keperluan siasatan yang penuh dan lengkap.
Pada masa yang sama, wujud pertikaian mengenai kedudukan salah seorang pihak yang terlibat sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
“Dalam keadaan terdapat persoalan seperti itu, saya mengambil pendirian berdasarkan nasihat undang-undang yang betul bahawa seorang Menteri Besar tidak sepatutnya meletakkan tandatangannya pada sebuah dokumen yang mempunyai implikasi begitu besar terhadap institusi Raja selagi persoalan mengenai proses dan kesahihannya belum benar-benar jelas.
“Ini pendirian saya dan Alhamdulillah hari ini pendirian ini kekal dan saya tidak melayakkan diri saya sebagai ‘dipaksa’,” ujar beliau.
Isu terbabit menjadi lebih hangat apabila penggantinya, Datuk Seri Ismail Lasim, kemudiannya didakwa menandatangani dokumen proklamasi berkenaan pada 3 Ogos 2026.
Walaupun Ismail mengakui tandatangan itu adalah miliknya, beliau dilaporkan mendakwa bertindak demikian dalam keadaan dipaksa, satu dakwaan yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
Berhubung kontroversi ini, Aminuddin menegaskan bahawa satu persoalan besar tetap perlu dijawab secara telus oleh kepimpinan sekarang.
Beliau menyoal bagaimana tandatangan Menteri Besar boleh berada pada dokumen yang sama jika dirinya sendiri mampu menolak atas dasar keraguan terhadap proses perundangan.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan perundangan, beliau turut merujuk kepada pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September 2026 yang memutuskan bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana gagal mematuhi kehendak mandatori Perkara 10, selain menegaskan bahawa Menteri Besar serta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
“Saya bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang saya buat semasa menjadi Menteri Besar.
“Jika ada keputusan saya yang mahu dipersoalkan, kemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan. Saya akan menjawab berdasarkan rekod,” tegas Aminuddin.
Beliau turut mengingatkan agar pihak kepimpinan negeri berhenti melakukan manipulasi politik demi melepaskan diri daripada keterlanjuran, sebaliknya tampil jujur kepada rakyat dengan mengemukakan fakta yang berasaskan proses dan rekod yang sebenar.
“Tidak rugi menjadi pemimpin yang jujur. Tidak tercela mempertahan kebenaran,” katanya.










