Semoga Usaha Murni Frontliners Diberkati

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkongsi kata-kata semangat kepada barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menghadapi dugaan dan cabaran melaksanakan tugas ketika pandemik COVID-19 masih tidak menunjukkan tanda-tanda reda.

“Dalam menjalankan tugas sebagai barisan hadapan di KKM, adakala kita diuji dengan dugaan dan cabaran.

“Bersabar dan bertabahlah, semoga Allah SWT memberkati usaha murni kita selama ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam perkongsian yang sama, Dr Adham turut berkongsi berita mengenai seorang Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, terbabit kemalangan di Kuala Ketil, Kedah.

Perkongsian itu memaklumkan bahawa Mohd Asri Ismail, 43, mengalami kecederaan di lutut apabila motosikal ditunggangnya merempuh batu pengadang jalan dekat Jambatan Kuala Lesung.

Kejadian pada awal pagi itu berlaku ketika Mohd Asri dalam perjalanan dari arah FELDA Teloi Kanan menghala ke Sungai Petani, namun beliau telah selamat menjalani pembedahan dan sedang dirawat di hospital.

Pihak Pejabat Menteri Kesihatan juga sudah menziarahi Mohd Asri, sekali gus menyampaikan salam dan doa daripada Dr Adham.

Dr Adham berkata, beliau bersama seluruh warga KKM mendoakan kesihatan dan kesembuhan sempurna buat Mohd Asri.

BBerkaitan

Latest articles