KUALA LUMPUR: Pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini, susulan kontroversi pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Hannah mengesahkan perkara itu selepas tiga pegawai SPRM hadir ke pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam bagi meminta pembantunya hadir ke pejabat suruhanjaya berkenaan untuk membantu siasatan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, permintaan itu dibuat ketika pegawai SPRM mengunjungi pejabatnya.
“Ya, saya mengesahkan tiga pegawai SPRM datang ke pejabat saya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam dan meminta pembantu saya hadir ke SPRM pagi ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Pembantu berkenaan dilaporkan dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung kontroversi pembaharuan pajakan tanah KLSCAH yang mencetuskan persoalan susulan kelulusan premium nominal hanya RM1,000 bagi tempoh pajakan 99 tahun.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding anggaran premium asal yang dilaporkan mencecah kira-kira RM4.67 juta.
Mengulas keputusan berkenaan sebelum ini, Hannah menjelaskan kelulusan tersebut bukan dibuat atas keputusan peribadinya, sebaliknya diputuskan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Beliau turut memaklumkan kadar premium berkenaan ditetapkan selepas kategori penggunaan tanah itu ditukar daripada komersial kepada institusi, selain mengambil kira status KLSCAH sebagai bangunan warisan kebangsaan sejak 2007.
Hannah juga menjelaskan terdapat tujuh pertubuhan lain di Kuala Lumpur yang pernah diberikan kadar premium nominal RM1,000 bagi pembaharuan pajakan selama 99 tahun.
Bagaimanapun, SPRM setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan siasatan berkenaan.










