Sektor Pendidikan, Kesihatan, Infrastruktur Tetap Keutamaan Kerajaan Walau Dihimpit Cabaran Ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lalu menekankan keperluan kepada isu pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas demi menjamin keselesaan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun Malaysia tidak ketinggalan menerima kesannya akibat cabaran ekonomi dunia, namun beliau tetap menyifatkan Belanjawan 2024 membabitkan peruntukan RM393.8 bilion mampundirencana dengan baik.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan dapat mengimbangi kekangan kewangan seperti defisit hutang dengan keperluan utama rakyat antaranya pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.

“Kita dalam keadaan kemelut ekonomi yang agak getir…dengan defisit hutang, masih kita dapat merencana sesuatu yang sebaik mungkin. Untuk diberikan lebih tidak mungkin kerana kekangan kewangan, kalau terlalu terikat dengan kekangan kewangan akan sengsara rakyat.

“Jadi, bagaimana kita dapat merangka belanjawan yang boleh mengimbangi dua-duanya antara kekuatan atau permasalahan?

“Sebab itu soal pendidikan, kesihatan rakyat tidak boleh dikorbankan dan dalam kekangan (kewangan), dilihat peruntukan untuk pendidikan, kesihatan dan prasarana asas rakyat itu diberi tumpuan,” katanya pada majlis perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata kerajaan masih membuka pintu untuk penambahbaikan dengan meneliti segala maklum balas yang akan diulas oleh setiap kementerian selaras semangat kerja berpasukan diterapkan pentadbirannya.

“Namanya dari menteri kewangan tetapi pasukan menteri-menteri mengetuai jawatankuasa Kabinet, KSN (ketua setiausaha negara) mengepalai perkhidmatan awam dan semua kementerian diminta beri pandangan.

“Kita sedang teliti respon dan apa-apa langkah yang harus kita perbaiki. Kita dah buat sebaiknya tetapi kalau ada langkah baru, kita akan perbaiki seterusnya.”

Mengulas mengenai pelarasan semula subsidi yang mampu memberi penjimatan RM4.6 bilion setahun, Anwar berkata kerajaan pimpinannya tidak berhasrat memansuhkan subsidi namun fokus lebih terarah kepada kumpulan yang layak.

“Dasar penyasaran subsidi, kita sasar semula…subsidi diteruskan, nak potong tak boleh nanti harga akan melambung dan rakyat di peringkat bawah akan terkesan.

“Jadi subsidi akan diteruskan tetapi mesti ada pelarasan supaya yang maha kaya jangan diberi subsidi, orang asing dielak daripada dapat subsidi kerana subsidi itu hanya untuk pembayar cukai atau rakyat yang memerlukan.”

Menurutnya, negara memperuntukkan subsidi sehingga RM81 bilion setahun iaitu tertinggi di dunia meliputi bantuan kadar elektrik, minyak dan makanan.

BBerkaitan

Latest articles