KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum menerima maklum balas baharu daripada syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic bagi membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan operasi manipulasi pengaruh politik di Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihaknya belum mempunyai perkembangan baharu untuk dimaklumkan kerana masih menunggu maklum balas daripada syarikat berkenaan.
Menurutnya, ketiadaan maklumat tambahan itu menjadi cabaran kepada MCMC untuk meneruskan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan teknologi AI berkenaan.
“Kalau tak ada perkembangan baharu, maksudnya kalau kita tak dapat apa-apa maklum balas daripada Anthropic, jadi kami tak ada apa-apa untuk kita siasat.
“Itulah masalah dan cabaran yang dihadapi oleh MCMC,” katanya pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengenai status terkini siasatan MCMC terhadap laporan Anthropic.
Bagaimanapun, Wan Saiful mempersoalkan jawapan diberikan kerana mendakwa ia sama seperti jawapan bertulis Kementerian Komunikasi bertarikh 11 November lalu.
Beliau berkata, selepas lebih 10 hari, kementerian sepatutnya memberikan perkembangan terkini dan bukannya mengulangi penjelasan sama.
“Saya rasa jawapan yang Yang Berhormat berikan ini sebiji sama dengan jawapan bertarikh 11 haribulan November.
“Kalau setakat nak baca jawapan 11 haribulan, baik kata tak payah bahas pada hari ini. Saya nak apa kemas kini terkini daripada siasatan ini? Berapa lama lagi siasatan yang nak dijalankan?” soalnya.
Menjawab perkara itu, Teo Nie Ching meminta Wan Saiful mengemukakan sebarang maklumat tambahan yang boleh membantu MCMC menjalankan siasatan lanjut.
“Ahli Yang Berhormat yang bijaksana mempunyai butiran tambahan yang tidak diketahui oleh MCMC, silalah bekal kepada MCMC supaya siasatan lanjutan boleh dilaksanakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Wan Saiful turut mempersoalkan tindakan kerajaan berhubung pendedahan Anthropic mengenai permintaan menghasilkan sejuta tontonan palsu bagi akaun media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan sendiri tidak membuat laporan bagi membolehkan dakwaan berkenaan disiasat.
Bagaimanapun, Teo Nie Ching menjelaskan akaun media sosial Perdana Menteri bukan dikendalikan MCMC, selain menyifatkan dakwaan berhubung sejuta tontonan palsu itu sebagai isu berbeza daripada laporan Anthropic.
“Pertamanya, akaun Perdana Menteri bukanlah dikendalikan oleh MCMC. Jadilah bagaimana MCMC nak buat siasatan terhadap isu itu?
“Isu itu berbeza dengan dakwaan yang dibuat oleh Anthropic. Jadi saya harap ahli Yang Berhormat jangan campur dua isu yang berbeza ini. Itu tidak adil untuk MCMC,” katanya.
Wan Saiful kemudian meminta pengesahan sama ada Perdana Menteri telah membuat sebarang laporan berhubung dakwaan yang mengaitkan akaun media sosialnya itu.
Sebagai respons, Teo Nie Ching mengulangi bahawa kementeriannya masih belum menerima maklum balas daripada Anthropic untuk membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan.
Beliau turut meminta Wan Saiful mengemukakan bukti atau maklumat berkaitan kepada MCMC.
“Siasatan hanya boleh dijalankan kalau kita ada butiran. Kami tak bolehlah *pluck from the air* dan jalankan siasatan.
“Kalau saya tak ada bukti, apa siasatan yang boleh dijalankan?” katanya.










