​’Sejuta Pelajar Diselamatkan Tak Jadi Berita’, Anwar Mahu Warga Pendidik Tabah, Ikhlas

​PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan warga pendidik dan Kementerian Pendidikan (KPM) agar sentiasa bersabar serta bijaksana dalam mendepani cabaran dan tumpuan masyarakat terhadap dunia pendidikan negara.

​Beliau berkata, tuntutan serta harapan masyarakat terhadap sektor berkenaan amat tinggi sehingga sesetengah isu kecil kerap diperbesarkan, manakala kejayaan besar yang dicapai oleh warga pendidik saban hari kerap terlepas daripada perhatian umum.

​”Kalau seorang anak jatuh (ditimpa kemalangan), itu menjadi isu besar dan berita sensasi kerana kita prihatin dan simpati.

“Namun, sejuta anak yang diselamatkan setiap hari dengan ilmu, makanan, disiplin, dan kasih sayang di sekolah tidak menarik perhatian kerana ia tidak sensasi.

​”Sebab itu ia menuntut kesabaran dan hikmah daripada kita. Tugas guru ini mulia, bukannya soal pengiktirafan dan ganjaran semata-mata, sebaliknya ‘nawaitu’ (niat) itu harus ikhlas kerana Allah,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama-sama Warga Kementerian Bersempena Perhimpunan Bulanan KPM di sini, hari ini.

​Mengulas lanjut mengenai hala tuju pendidikan, Anwar menegaskan bahawa dasar kerajaan tidak pernah meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang utama, di samping terus mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai keperluan global.

​Pada masa sama, beliau menyeru agar masyarakat dan pendidik bersikap lebih terbuka dalam menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Cina, Tamil, Arab dan bahasa antarabangsa yang lain demi kelebihan ekonomi dan daya saing negara.

​”Sikap kita harus lebih terbuka dan inklusif. Penguasaan bahasa Melayu mesti kuat, bahasa Inggeris perlu ditingkatkan, dan tiada halangan untuk anak-anak menguasai bahasa Cina, Tamil atau Arab. Bahasa Cina sebagai contoh, kini bukan lagi sekadar bahasa komuniti tempatan tetapi telah menjadi bahasa ekonomi rantau yang penting,” jelas beliau.

​Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan keutamaan negara terhadap kepantasan adaptasi teknologi maklumat dan lonjakan baharu menerusi penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (National AI Office).

​Beliau mahu KPM memastikan penguasaan teknologi pesat itu tidak mewujudkan jurang digital, terutamanya bagi murid-murid di kawasan luar bandar menerusi pengukuhan pendidikan STEM serta penguasaan asas matematik.

​”Masa depan tidak menunggu kita, jadi ayuh kita bina dengan ilmu, integriti dan kerja keras.

“Generasi muda perlu dipersiapkan dengan kemahiran masa hadapan termasuk menguasai AI, teknologi digital, sains dan inovasi bagi memastikan negara kekal berdaya saing di peringkat global,” kata Perdana Menteri.

BBerkaitan

Latest articles