Hasmah Selamat Disemadikan Di Pusara Negara

PUTRAJAYA: Jenazah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, kira-kira jam 6.40 petang tadi.

Allahyarhamah, yang meninggal dunia pada usia 100 tahun pagi tadi, diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara yang diputuskan kerajaan sebagai penghormatan terakhir atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara.

Istiadat berkenaan diketuai Ahmad Saufi Md Isa dari Markas Tentera Darat dengan penglibatan lapan pegawai daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selepas jenazah disemadikan, upacara diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Abd Shukor Mahmood, kepada Dr Mahathir sebagai waris Allahyarhamah.

Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali, kemudian memimpin bacaan talkin dan doa selepas selesai upacara pengebumian.

Dr Mahathir turut hadir di Pusara Negara bagi mengiringi perjalanan terakhir isterinya, yang menjadi teman hidup beliau sepanjang kira-kira 70 tahun perkahwinan.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan selepas solat Asar.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Allahyarhamah meninggalkan tujuh anak hasil perkahwinannya dengan Dr Mahathir selama tujuh dekad.

BBerkaitan

Latest articles