PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional tidak akan dibiarkan berdepan tekanan politik tanpa pembelaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap penjawat awam terus melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Saya akan lindungi… saya profesional dalam perkara ini. Saya mahu semuanya mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul. The rest, leave it to me. I know what to do with it (Selebihnya biarkan kepada saya, saya tahu apa yang perlu dibuat),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Beliau turut membayangkan wujud tekanan daripada pihak tertentu terhadap penjawat awam, namun menegaskan perkara itu akan ditanganinya.
Mengulas situasi politik semasa, Ahmad Zahid berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan mungkin mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penjawat awam mengenai kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Namun, beliau menegaskan perkembangan politik di peringkat negeri tidak akan menggugat pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Persaingan politik di peringkat negeri tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau, penjawat awam perlu memahami landskap politik yang mempengaruhi pembentukan dasar kerajaan, tetapi tidak boleh terlibat atau diperalatkan dalam politik kepartian.
“You have to be politically sensitive but you should never become politicized (Anda perlu peka terhadap politik, tetapi jangan dipolitikkan),” katanya.
Ahmad Zahid berkata, profesionalisme dalam perkhidmatan awam hanya dapat dipelihara sekiranya wujud pemisahan yang jelas antara urusan pentadbiran dan kepentingan politik.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai perbezaan pendirian di sesetengah negeri, kerjasama di peringkat Persekutuan mesti terus diperkukuhkan demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Di negeri mungkin kita berbeza pandangan, tetapi apabila mentadbir di peringkat pusat, kita perlu bergerak dengan matlamat yang sama untuk memastikan urusan kerajaan berjalan lancar dan rakyat mendapat manfaat,” katanya.
Beliau menambah, peranan penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran negara tidak boleh terjejas walaupun suasana politik berubah kerana mereka bertanggungjawab memastikan dasar kerajaan dilaksanakan, projek diteruskan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak tergendala.










