KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer, mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba mensabotaj kerajaan Madani menerusi kenyataan berhubung pembatalan beberapa projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Rayer (PH-Jelutong) berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu seolah-olah memberi gambaran kerajaan tidak mengambil berat terhadap keperluan infrastruktur penduduk di kedua-dua negeri berkenaan, termasuk masyarakat luar bandar di Semenanjung.
Menurutnya, dakwaan kononnya peruntukan projek pembangunan berkenaan dikorbankan turut mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Madani, sedangkan Menteri Kewangan sudah menjelaskan tiada pemotongan peruntukan dilakukan.
“Disebabkan perkara ini, timbul polemik di luar sehingga rakyat marah kepada kerajaan Madani. Namun, Menteri Kewangan memberikan penjelasan bahawa tiada sebarang pemotongan dibuat.
“Bagan Datuk cuba mensabotaj kerajaan Madani,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat.
Kenyataan itu mencetuskan bantahan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN-Arau), Datuk Seri Shahidan Kassim, yang mendesak Rayer menarik balik perkataan ‘sabotaj’ kerana menganggapnya sebagai tuduhan berat terhadap seorang Timbalan Perdana Menteri.
Shahidan berkata, tuduhan berkenaan bukan sekadar sangkaan buruk, malah menyentuh kedudukan seorang pemimpin kanan kerajaan dan boleh dikaitkan dengan isu keselamatan negara.
“Apa yang dibuat oleh Jelutong (menuduh cuba sabotaj) adalah sangkaan jahat terhadap Timbalan Perdana Menteri. Perkataan itu perlu ditarik balik.
“Ini Timbalan Perdana Menteri negara. Mana boleh membuat sangkaan jahat begitu? Itu tuduhan berat yang melibatkan soal keselamatan negara,” katanya.
Bagaimanapun, Rayer tidak berganjak daripada pendiriannya, malah mengulangi dakwaan bahawa Zahid bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Madani.
“Sudah terang lagi bersuluh, Bagan Datuk bersekongkol dengan sebelah sana (pembangkang) untuk cuba mensabotaj kerajaan Madani,” katanya.
Mengulas pertikaian itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, meminta Rayer mengemukakan usul sekiranya mahu kenyataan Zahid dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk tindakan lanjut.
“Masukkan usul jika merasakan hujah Yang Berhormat boleh menjurus kepada Bagan Datuk dihadapkan ke jawatankuasa Parlimen. Sila masukkan usul,” katanya.
Minggu lalu, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 di peringkat dasar, Zahid mendakwa beberapa projek pembangunan luar bandar bagi 2026 di Sabah dan Sarawak dibatalkan meskipun peruntukan telah disediakan.
Beliau berkata, arahan pembatalan itu dikeluarkan oleh ketua setiausaha kementerian, namun tidak mendedahkan kementerian yang dimaksudkan atau jumlah projek yang terjejas.










