KUALA LUMPUR: Perselisihan faham dipercayai akibat perebutan kawasan perniagaan menjadi punca rusuhan membabitkan sekumpulan individu di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, malam tadi, bukannya bermotifkan perkauman atau berkaitan kongsi gelap.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada pertikaian berkenaan, namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan punca sebenar kejadian.
Beliau turut menegaskan orang ramai tidak seharusnya memutarbelitkan insiden berkenaan dengan mengaitkannya kepada isu perkauman atau kongsi gelap sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Tiada elemen perkauman dan kongsi gelap dalam kejadian terbabit dan kita minta orang ramai tidak menimbulkan spekulasi berhubung insiden itu.
“Setakat ini seramai sembilan individu termasuk seorang wanita berusia 16 hingga 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan serta merampas pelbagai barangan disyaki digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, dua daripada sembilan individu yang ditahan dikenal pasti sebagai suspek utama, masing-masing berusia 32 dan 44 tahun.
Menurutnya, semua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan direman antara satu hingga tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, enam daripada individu yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
Bagaimanapun, polis masih giat mengesan sekurang-kurangnya 15 individu lain yang dipercayai terbabit dalam rusuhan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan sembilan individu ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras selepas menerima maklumat mengenai pergaduhan membabitkan sekumpulan individu kira-kira jam 11 malam.
Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kenyataan tidak benar atau membuat spekulasi mengenai kejadian berkenaan yang boleh mencetuskan panik serta menjejaskan ketenteraman awam.
Penyebaran kenyataan tidak benar atau bersifat spekulasi juga boleh mengundang tindakan undang-undang mengikut peruntukan berkaitan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).










