GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang digesa menangguhkan sebarang kenaikan cukai tanah, tarif air dan fi lain sehingga tamat penggal pentadbiran negeri bagi mengurangkan beban rakyat serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng berkata, kedudukan kewangan kerajaan negeri yang semakin kukuh tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terus meningkatkan kadar bayaran ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, baki Akaun Hasil Disatukan (AHD) kerajaan negeri meningkat daripada RM522.87 juta pada akhir 2025 kepada RM651.28 juta setakat 30 Oktober 2026.
Katanya, prestasi ekonomi negeri juga memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang berkembang 7.3 peratus kepada RM130.3 bilion pada 2025, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.
“Rakyat tidak mengharapkan kerajaan meringankan kos, tetapi sekadar jangan naikkan cukai dan kos pematuhan.
“Malangnya, kenaikan cukai tanah, tarif air dan bayaran lain telah membebankan rakyat dan pengusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, pada Isnin.
Beliau turut membangkitkan peningkatan kutipan cukai tanah daripada RM116 juta pada 2024 dan 2025 kepada RM165 juta setakat September 2026.
Lim berkata, pertambahan RM49 juta dalam tempoh sembilan bulan itu menunjukkan kesan kenaikan kadar cukai tanah terhadap pemilik tanah.
Dalam pada itu, beliau mengemukakan lima perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan pembetulan kerajaan negeri, termasuk isu perjanjian bekalan air pukal antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP).
Katanya, perjanjian dianggarkan bernilai RM24.6 bilion bagi tempoh 40 tahun bermula 2032 itu perlu dibentangkan kepada DUN untuk dibahaskan dan diluluskan.
Beliau berkata, perjanjian berkenaan melibatkan kos pembangunan infrastruktur sebanyak RM8.4 bilion dan caj bekalan air RM16.2 bilion, yang akhirnya akan ditanggung rakyat Pulau Pinang sehingga 2072.
“Untuk sebuah kontrak sebesar ini, isi kandungannya harus diketahui umum. Perjanjian sebesar ini harus dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi menegakkan prinsip demokrasi, akauntabiliti dan ketelusan,” katanya.
Selain itu, Lim mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Negeri bagi menyiasat tragedi runtuhan cerun di Taman Seri Rambai, Paya Terubong pada 25 Oktober lalu yang mengorbankan seorang doktor berusia 73 tahun, Dr Wong Kar Lin.
Beliau berkata, siasatan bebas, profesional dan adil perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan bahawa projek pembangunan di kawasan berkenaan diluluskan ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018.
Menurutnya, maklumat pada papan tanda projek menunjukkan kelulusan perancangan diberikan pada 2023, manakala pelan kerja tanah dan bangunan diluluskan pada 2024.
“Saya telah merujuk maklumat palsu dan fitnah berniat jahat ini kepada peguam saya. Jelas pihak tidak bertanggungjawab ini sengaja ingin menimbulkan kemarahan awam ke atas saya. Saya akan berusaha membersihkan nama baik saya menerusi saluran perundangan,” katanya.
Lim turut mempersoalkan status projek tambakan laut Persiaran Karpal Singh bernilai RM1 bilion serta perjanjian pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong, selain membangkitkan isu kelewatan dan peningkatan kos projek menaik taraf jalan serta jambatan Jalan Perusahaan ke Jalan Tok Kangar yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Beliau berkata, teguran Laporan Ketua Audit Negara berhubung projek berkenaan perlu diberikan perhatian, khususnya apabila kos keseluruhan meningkat kepada RM63.4 juta berbanding kos asal RM43 juta.
Beliau turut mempersoalkan kesesuaian PDC menerajui pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) seluas 1,142 ekar dan mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan kerjasama dengan pihak swasta melalui proses tender terbuka.
Dalam perkembangan lain, Lim menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan mewujudkan Zon Kewangan Khas (ZKK) di Ampang Jajar, Seberang Perai bagi melengkapi pembangunan Penang Technology Financial Centre (PTFC).
Katanya, peruntukan RM100 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pembangunan PTFC merupakan langkah positif untuk memperkukuh sektor teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital negeri.
Bagaimanapun, beliau berkata, ZKK diperlukan bagi menarik pelaburan dalam sektor kewangan digital, teknologi kewangan (fintech) dan perdagangan mata wang kripto.
“ZKK perlu untuk menarik dana luar negeri, termasuk perdagangan kripto, fintech dan digital kewangan. Segala ini tidak mampu diuruskan oleh PTFC yang menumpukan fokus kepada teknologi, syarikat pemula niaga dan kecerdasan buatan (AI).
“Saya mengulangi cadangan tapak Ampang Jajar seluas 40 hektar yang terletak di antara dua kawasan Parlimen Bagan dan Permatang Pauh amat sesuai sebagai Zon Kewangan Khas,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu juga berpotensi merancakkan pembangunan Seberang Perai serta mewujudkan keseimbangan pembangunan antara kawasan pulau dan tanah besar.
Mengulas tema Belanjawan 2027, ‘Merakyatkan Visi dan Menempa Legasi’, Lim berkata, kejayaan sesebuah kerajaan tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan legasi yang ingin ditinggalkan, sebaliknya manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.
“Membolehkan rakyat hidup lebih senang, membuat betul bagi rakyat dan memberikan harapan kepada rakyat adalah lebih penting. Jangan semata-mata hendak menempa legasi, kerajaan pula kehilangan sokongan rakyat,” katanya.










