KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung ucapannya mengenai dakwaan mafia korporat dan pembayaran RM9.5 juta yang dikaitkan dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Ramanan.
Rafizi berkata, beliau menerima notis daripada Bukit Aman untuk hadir memberi keterangan pada esok, jam 10 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, Seksyen 500 berkaitan kesalahan fitnah jenayah, manakala Seksyen 505 melibatkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran awam atau mengganggu ketenteraman.
Beliau berkata, siasatan itu dibuka susulan laporan polis bertarikh 22 Oktober lalu dengan nombor PANTAI/014638/26, berhubung ceramahnya di Selayang pada 20 Oktober.
“Notis PDRM kepada saya menyebut laporan itu berkait ucapan Datuk Seri mengenai beberapa dakwaan, termasuk perkara berkaitan pembayaran wang berjumlah RM9.5 juta kepada seorang individu bernama Ramanan Ramakrishnan serta isu yang dikaitkan dengan mafia korporat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rafizi berkata, beliau turut menyentuh dakwaan Ramanan menerima rasuah RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes mafia korporat selain isu bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, yang dihadap ke mahkamah.
Beliau berkata, akan membatalkan acara kempen di Melaka pada Selasa bagi membolehkan dirinya hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan.
“Saya menghormati bahawa pegawai-pegawai yang menyiasat menjalankan tugas mereka seperti yang diarahkan.
“Oleh itu, saya akan kembali ke Kuala Lumpur dan membatalkan acara kempen saya di Melaka di siang hari Selasa untuk hadir memberi keterangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi menyifatkan siasatan berkenaan mengingatkannya kepada beberapa siasatan dan tindakan mahkamah yang pernah dihadapinya ketika mendedahkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, Felda dan National Feedlot Corporation (NFC).
Beliau mendakwa pernah disiasat mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan dalam kes berkaitan 1MDB dan Tabung Haji, selain Seksyen 504 atas dakwaan menghina UMNO.
Katanya, beliau dibebaskan mahkamah dalam semua kes berkenaan.
Rafizi turut mendakwa kerajaan pimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) kini menggunakan peruntukan undang-undang sama untuk menakutkannya setiap kali beliau membangkitkan isu mafia korporat dan dakwaan terhadap Ramanan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Ramanan sepatutnya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya sekiranya mahu membersihkan nama daripada dakwaan berkenaan.
Rafizi turut memaklumkan bahawa beliau telah memulakan tindakan saman terhadap Ramanan berikutan keengganan individu itu membawa dakwaan berkenaan ke mahkamah.
Beliau berkata, pihaknya percaya BERSAMA telah memainkan peranan membantu masyarakat membanteras mafia korporat meskipun berdepan tekanan undang-undang.










