ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum membincangkan calon pengganti Shuhaily Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), susulan keputusan menamatkan peminjamannya ke agensi itu dan mengembalikannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebarang tindakan terhadap penjawat awam yang berdepan siasatan serta pertuduhan jenayah perlu diuruskan mengikut peraturan dan prosedur perkhidmatan awam yang ditetapkan.
“Belum, kita belum bincang,” katanya seperti dipetik Sinar Harian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program bantuan kewangan untuk pemandu teksi, kereta sewa dan bas yang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, status pegawai berkenaan perlu diteliti berdasarkan aturan perkhidmatan awam susulan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Dari segi penjawat awam, apabila seseorang telah dikenakan pertuduhan, ada sistem dan aturan yang perlu diuruskan oleh bahagian perkhidmatan awam,” katanya.
Minggu lalu, Saifuddin Nasution memaklumkan kementerian memutuskan untuk menamatkan peminjaman Shuhaily ke AKPS dan mengembalikannya kepada pasukan polis selepas beliau didakwa menyerang dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada September lalu.
Shuhaily, yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dilantik mengetuai AKPS menerusi peminjaman berkuat kuasa 1 Julai tahun lalu.
Beliau kembali bertugas di AKPS hari ini selepas bercuti sejak minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail, sebelum ini berkata tempoh perkhidmatan Shuhaily selama dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS hanya boleh dipendekkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Khalid turut memaklumkan PDRM sedang menunggu nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara sebelum memuktamadkan proses kepulangan Shuhaily.
Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mencadangkan supaya Shuhaily dilantik menganggotai pasukan petugas khas antara agensi bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’.
Beliau berpandangan pengalaman luas Shuhaily dalam bidang siasatan jenayah serta penyelarasan pelbagai agensi penguatkuasaan mampu membantu merungkai dakwaan penyalahgunaan kuasa bagi menekan ahli perniagaan supaya menjual saham syarikat pada harga di bawah nilai pasaran.
“Berdasarkan pengalamannya yang luas dalam AKPS dan penyelarasan pelbagai agensi, serta sebagai bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, saya yakin Shuhaily mampu menjejak hubungan dengan kroni yang terbabit dalam skandal mafia korporat ini,” katanya di Dewan Rakyat.
Wan Ahmad Fayhsal turut menggesa kerajaan supaya tidak mengetepikan pegawai berpengalaman, sebaliknya memanfaatkan kepakaran mereka dalam usaha membongkar skandal berkenaan.
Beliau juga mengingatkan supaya penjawat awam yang menunjukkan prestasi baik dalam memerangi rasuah tidak dipinggirkan.
“Jangan kita buang orang-orang baik seperti ini dan letak di dalam peti sejuk KDN,” katanya.
Dakwaan mengenai ‘mafia korporat’ itu sebelum ini dilaporkan Bloomberg, yang mendakwa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit dalam kegiatan menawarkan ugutan menerusi serbuan dan siasatan bagi menekan eksekutif syarikat supaya menjual saham pada harga rendah.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, menolak dakwaan berkenaan.
Pada 20 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan penubuhan pasukan petugas khas pelbagai agensi yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar, bagi menyiasat dakwaan itu.
Pasukan berkenaan turut membabitkan SPRM, polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta unit penguatkuasaan antipengubahan wang haram.
Anwar berkata hasil siasatan pasukan petugas itu akan diumumkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan.










