KUCHING: Sebanyak 17 kerusi baharu dicadangkan untuk diwujudkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menerusi proses kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang kini mula dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Cadangan itu menyaksikan kawasan Parlimen Sibu, Miri dan Petra Jaya masing-masing bakal menerima dua kerusi DUN tambahan.
Bagi Sibu, dua kerusi yang dicadangkan ialah Sungai Merah dan Bukit Kemuyang, manakala Miri pula melibatkan Permaisuri dan Tudan.
Petra Jaya turut menerima dua kerusi baharu yang dicadangkan dikenali sebagai Matang dan Semarak, lapor Borneo Post.
Ketika ini, ketiga-tiga kawasan Parlimen berkenaan masing-masing mempunyai tiga kerusi DUN dan kesemuanya disandang wakil daripada gabungan pemerintah negeri, Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Miri kini mempunyai wakil daripada PKR, manakala Sibu diwakili DAP.
Kerusi Petra Jaya pula disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof daripada GPS sejak 2004.
Selain enam kerusi berkenaan, SPR mencadangkan penambahan 11 lagi kawasan DUN di beberapa bahagian lain di Sarawak.
Antara nama yang dicadangkan ialah Jagoi di bawah Parlimen Mas Gading; Pasir Pandak (Santubong); Tabuan Jaya (Bandar Kuching); Maong (Stampin); Samarindah (Kota Samarahan); Sungai Serin (Puncak Borneo); Tanah Mas (Lanang); Melekun (Kapit); Batu Niah (Bintulu) dan Usun Apau (Baram).
Cadangan persempadanan itu turut membabitkan perubahan nama kawasan Parlimen sedia ada apabila Igan dicadangkan ditukar kepada Batang Lassa, selain sebuah kerusi baharu dinamakan Igan.
Dalam masa sama, SPR mencadangkan pertukaran nama bagi 10 kerusi DUN sedia ada.
Kerusi Opar dicadangkan menggunakan nama Serayan, Tasik Biru kepada Singai, Tarat kepada Bung Sadung, Semop kepada Muara Lassa dan Jemoreng kepada Matu.
Turut dicadangkan ialah Bawang Assan kepada Rassau, Jepak kepada Jepak Jaya, Lambir kepada Pantai Beraya, Senadin kepada Lopeng serta Ba’kelalan kepada Gunong Murud.
Notis berhubung cadangan tersebut kini dipamerkan di beberapa pejabat daerah di seluruh Sarawak bagi membolehkan orang ramai meneliti perincian persempadanan yang dicadangkan.
SPR membuka ruang kepada pihak berkepentingan dan orang awam untuk mengemukakan bantahan atau representasi terhadap cadangan itu sehingga 30 September ini.
Proses berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah SPR mendapatkan pandangan awam sebelum sebarang keputusan muktamad berkaitan persempadanan baharu dibuat.










