KPM Tidak Kompromi Jika Wujud Kecuaian Dalam Kes Kematian Pelajar

IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi amaran tindakan tegas tidak akan dikompromi sekiranya siasatan mengesahkan wujud unsur kecuaian atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan sehingga mengakibatkan kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata pihaknya memandang serius insiden tragis itu dan mengarahkan seluruh jentera kementerian memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi merungkai kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta menentukan sama ada terdapat sebarang kelemahan dalam aspek keselamatan dan pengurusan sekolah.

Beliau berkata, perbincangan bersama pihak berkaitan sudah diadakan, manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh turut digerakkan ke lokasi bagi menyelaras tindakan segera.

Fadhlina turut mengesahkan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran lokasi kejadian berada dalam keadaan baik, selain rakaman berkaitan sudah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, beberapa pentadbir dan guru sekolah terbabit diberikan pelepasan tugas sementara bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.

Beliau berkata, Jemaah Nazir juga diarahkan turun ke sekolah hari ini bagi meneliti pengurusan institusi berkenaan, termasuk tahap pematuhan terhadap prosedur keselamatan.

“Sekiranya terdapat kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan, KPM tidak akan berkompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah terus terpelihara, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan pula dibenarkan pulang pada Jumaat ini.

Katanya, bantuan psikososial turut disediakan kepada individu yang terkesan dengan kejadian itu.

Pada masa sama, Fadhlina meminta orang ramai tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah dan berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi dugaan berkenaan.

Semalam, JPN Perak mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Perak.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi ini.

BBerkaitan

Latest articles