KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menegaskan bahawa isu pinjaman RM1 juta daripada syarikat pemberi pinjaman wang berlesen, Appasia Capital Sdn Bhd, yang kini berlanjutan ke mahkamah sebenarnya dibuat secara individu menerusi jaminan peribadi mantan pihak atasan dan tidak pernah mendapat kelulusan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) persatuan.
Menurut laporan Harian Metro, Presiden KLFA, Datuk Seri Syed Yazid Syed Omar memberitahu bahawa semakan ke atas rekod rasmi mendapati tiada sebarang Mesyuarat EXCO pernah diadakan bagi membincangkan mahupun meluluskan permohonan pinjaman berkenaan sewaktu ia diambil pada tahun 2022.
Beliau menjelaskan, mengikut Artikel 3 perenggan (u) serta Artikel 21 Statut KLFA, sebarang urusan meminjam wang bagi pihak persatuan wajib dipertimbangkan dan mendapat mandat rasmi daripada EXCO sebagai badan eksekutif tertinggi.
“Setakat rekod yang ada, tidak pernah ada mesyuarat EXCO yang membincangkan atau meluluskan pinjaman tersebut.
“Kalau pinjaman dibuat secara individu dan berdasarkan jaminan peribadi tanpa keputusan EXCO, maka ia bukanlah satu keputusan rasmi kepimpinan KLFA.
“Kalau perkara ini tidak pernah dibawa ke mesyuarat, tidak pernah diluluskan dan tidak mendapat mandat, bagaimana ia boleh dianggap sebagai keputusan rasmi persatuan? Pihak yang menandatangani perjanjian dan memberikan jaminan peribadi itulah yang sepatutnya bertanggungjawab,” katanya.
Syed Yazid turut mempertikaikan tindakan pihak Appasia Capital yang menamakan barisan pemegang jawatan kepimpinan semasa sebagai defendan, sedangkan mereka hanya mengambil alih pentadbiran selepas tempoh pengurusan terdahulu dan tidak terlibat dalam urusan peminjaman tersebut.
Tegas beliau, KLFA bukannya mahu mengelak daripada sebarang liabiliti yang sah, sebaliknya mahu menegakkan prinsip tadbir urus dan kedaulatan statut persatuan agar keputusan individu pimpinan terdahulu tidak sewenang-wenangnya dibebankan kepada pengurusan baharu.
Terdahulu, Appasia Capital Sdn Bhd memfailkan saman RM1.04 juta terhadap beberapa pemegang jawatan KLFA berhubung baki pinjaman yang didakwa diambil bagi melunaskan tunggakan gaji pemain pada 2022.
Walau bagaimanapun, pihak defendan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut yang dijadualkan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani pada 17 September ini.










