KUALA LUMPUR, Saksi kedua perbicaraan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak pernah dirujuk oleh Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran BPR 3108 sebelum hadir memberi keterangan di mahkamah hari ini.
Heng Chiang Pooh, 66, membuat pengakuan itu ketika disoal oleh peguam Amir Hamzah di hadapan Hakim Tuan Rosli Ahmad.
Dalam pernyataan saksinya, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya dirujuk mengenai sebuah kenderaan lain, iaitu Toyota Vellfire 2.5 AT bernombor pendaftaran VCN 4314, yang bernilai RM350,397.
Selain itu, beliau mengakui tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai harga kenderaan tersebut dan memberitahu mahkamah bahawa nilai berkenaan dicadangkan oleh pegawai penyiasat SPRM, sebelum dimasukkan ke dalam pernyataan yang ditandatanganinya di mahkamah semalam.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai kenderaan itu. Nilai itu pun diberitahu kepada saya, saya hanya catat seperti yang diberitahu,” katanya.
Saksi turut disoal mengenai kewujudan resolusi syarikat bertarikh 16 Julai 2018 yang berkaitan dengan pembelian kenderaan tersebut. Beliau mengesahkan bahawa hanya maklumat yang diberikan oleh syarikat dimasukkan ke dalam dokumen berkenaan, tanpa sebarang semakan lanjut terhadap nilai atau status pemilikan sebenar.
Dalam kenyataan lain, beliau juga mengakui tidak terlibat dalam pengurusan harian syarikat pada ketika itu dan tidak mengetahui apa-apa tentang keputusan kewangan atau pelupusan aset yang dibuat oleh pihak pengurusan.
Perbicaraan ditangguhkan sehingga 21 Mei depan.
Turut mewakili tertuduh ialah peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin Haw dan Siti Hamirah Muhammad Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh Ng Shih Chiow dan Ng Shih Fang didakwa melakukan kesalahan bersama-sama pada 3 Oktober 2018 di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lot 14264, Jalan Genting Kelang, Setapak.
Bagi mencapai niat bersama, mereka didakwa dengan curangnya menyebabkan Lee Pei Yee, pegawai CIMB Bank Berhad, melupuskan suatu harta iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran BPR 3108 milik syarikat Revenue Group Berhad tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut,
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan