RXZ Members 8.0: Polis Keluar 1,850 Saman, 222 Motosikal Disita, Enam Bakal Didakwa

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu mengeluarkan sebanyak 1,850 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0, selain menyita 222 motosikal menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, semua motosikal berkenaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, dalam operasi sama, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu turut menahan enam individu yang terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Singapura berusia 22 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret mengikut daerah tangkapan masing-masing atas kesalahan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun, selain denda antara RM5,000 hingga RM15,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Mengulas aspek keselamatan jalan raya sepanjang program itu, Mohd Khairi berkata sebanyak 29 kemalangan direkodkan tahun ini, meningkat berbanding hanya 11 kes ketika penganjuran RXZ Members 7.0 pada tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah kemalangan maut turut meningkat kepada lima kes yang mengorbankan lima nyawa, berbanding dua kes kematian pada edisi sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kadar jenayah keseluruhan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 menunjukkan penurunan apabila hanya empat kes direkodkan berbanding enam kes pada tahun lalu, termasuk satu kes kecurian motosikal.

Sementara itu, polis turut menjalankan 15 pemeriksaan berkaitan penyalahgunaan dadah sepanjang program berkenaan, dengan tiga individu ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan berkaitan dadah.

BBerkaitan

Latest articles