Ladang Babi Di Kampung Selamat Wajib Hantar Sisa Ke Loji Biogas, Kerja Korek Parit Bermula 2027

GEORGE TOWN: Semua ladang babi di Kampung Selamat diwajibkan menghantar sisa ternakan ke loji biogas di Ampang Jajar sejak 4 Mei lalu sebagai langkah mengawal pelepasan sisa ke persekitaran.

Selain itu, kerja-kerja pembersihan dan pengorekan mendapan di Parit Cina serta Sungai Kereh, Kampung Selamat dijangka dimulakan pada suku pertama 2027 bagi membantu mengurangkan masalah pencemaran dan bau di kawasan berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’Ng Mooi Lye berkata, kerja pembersihan itu merupakan fasa kedua pelan tindakan kerajaan negeri selepas pelaksanaan penghantaran sisa ternakan ke loji biogas.

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan mengawal pelepasan sisa ternakan ke persekitaran, khususnya yang berpotensi mengalir ke Sungai Kereh.

“Kerajaan negeri turut mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Parit Cina dan Sungai Kereh yang dijangka akan dimulakan pada suku pertama tahun 2027.

“Kerja-kerja ini bertujuan mengeluarkan sisa mendapan yang terkumpul bagi membantu meningkatkan kelancaran aliran air serta mengurangkan masalah pencemaran di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Jumaat.

Mengulas lanjut, H’Ng berkata, kerajaan negeri melaksanakan pelan tindakan secara berperingkat dengan memberi tempoh enam hingga sembilan bulan bagi memastikan semua sisa ternakan yang masih tersimpan di kawasan kandang dihantar ke loji biogas.

Katanya, langkah itu penting kerana sisa ternakan yang sebelum ini diletakkan berhampiran ladang atau kebun berpotensi mengalir ke parit apabila hujan.

Beliau berkata, semua penternak telah bersetuju dengan pelaksanaan langkah berkenaan dan tindakan termasuk penarikan lesen akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) turut melaksanakan aktiviti penuangan larutan Useful Microbes Activated Solution (UMAS) secara mingguan ke dalam saliran awam di Kampung Selamat bagi membantu mengawal pencemaran dan mengurangkan masalah bau.

H’Ng berkata, jabatan berkenaan juga menjalankan pemeriksaan serta pemantauan secara berkala terhadap ladang babi bagi memastikan penternak mematuhi keperluan pengurusan sisa ternakan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan masalah bau masih perlu ditangani melalui kerja pembersihan mendapan yang terkumpul di dalam parit sejak sekian lama.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan kira-kira tiga bulan untuk melaksanakan kerja pembersihan berkenaan, manakala keberkesanan langkah itu akan dinilai semula selepas enam bulan pelaksanaannya.

Menjawab persoalan mengenai bacaan gas ammonia, beliau berkata, pengukuran yang dibuat di dalam kandang tertutup menunjukkan kepekatan gas berkenaan berada dalam had ditetapkan, iaitu di bawah 20 bahagian per juta (PPM), manakala hidrogen sulfida di bawah lima PPM.

Bagaimanapun, bacaan itu tidak menggambarkan secara langsung tahap pencemaran air atau bau di Sungai Kereh.

Beliau turut memaklumkan JPVPP memperuntukkan RM6,000 setahun bagi melaksanakan aktiviti penuangan larutan UMAS secara mingguan di saliran awam Kampung Selamat.

Sementara itu, H’Ng berkata, pihaknya akan mendapatkan beberapa sampel air di kawasan Parit Cina dan lokasi sebelum aliran air memasuki Kampung Selamat bagi membolehkan penilaian lebih menyeluruh terhadap tahap pencemaran, termasuk bacaan permintaan oksigen biokimia (BOD).

Beliau turut mengajak semua pihak, termasuk wakil pembangkang, bekerjasama memantau sebarang aktiviti pelepasan sisa secara haram ke dalam sistem saliran di kawasan berkenaan.I’m

BBerkaitan

Latest articles