KLANG: Academician Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris dari Universiti Putra Malaysia (UPM) diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-17 sempena Anugerah Akademik Negara Kali Ke-17 (AAN17).
Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan beliau dalam bidang perubatan avian, bioteknologi haiwan dan pembangunan vaksin, termasuk menghasilkan vaksin penyakit Newcastle (NDV4-UPM) serta vaksin fowl pox yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, Aini turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UPM bagi tempoh 2016 hingga 2020.
Beliau juga pernah menerima Anugerah Akademik Negara 2010 bagi kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk serta Merdeka Award 2026 bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Sains, Teknologi dan Inovasi.
Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir di Klang, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, dua ahli akademik menerima Anugerah Ahli Akademik Harapan iaitu Prof Dr Ong Wee Jun dari Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) dan Prof Madya Ir Ts Dr Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Enam lagi kategori anugerah turut menyaksikan pengiktirafan kepada ahli akademik daripada beberapa institusi pendidikan tinggi tempatan.
Penerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk ialah Prof Madya Ir Ts Dr Mohd Khairi Abu Husain dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Dr Siti Noor Hafizah Mohamed Sharif dari Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi Anugerah Penerbitan Buku.
Prof Madya Dr Saipolbarin Ramli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula menerima Anugerah Pengajaran (Sastera dan Sains Sosial), sementara Prof Madya Dr Jayanthi Arasan dari UPM memenangi Anugerah Pengajaran (Sains Tulen).
Bagi kategori penerbitan makalah jurnal, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Sains Sosial dan Sastera) diberikan kepada Dr Ooi Say Keat dari USM, manakala Prof Ir Dr Yong Wai Fen dari XMUM menerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Sains).
Menurut KPT, penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara membawa pulang wang tunai RM200,000 berserta piala dan sijil.
Pemenang kategori lain masing-masing menerima wang tunai RM50,000 berserta trofi dan sijil, manakala penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan memperoleh RM25,000 berserta trofi dan sijil.
AAN merupakan program tahunan KPT yang dilaksanakan sejak 2002 bagi menghargai sumbangan ahli akademik dalam memajukan bidang ilmu, meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi serta mengharumkan nama negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Penganjuran AAN17 dikendalikan Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama USM dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) selaku jawatankuasa serta urus setia program.










