Zambry Cabar Ahli Akademia Perkukuh Pemikiran Kritis, Tangani Cabaran AI

KLANG: Ahli akademia perlu memainkan peranan lebih besar dalam membimbing pemikiran masyarakat dan memastikan perkembangan kecerdasan buatan (AI) tidak menjejaskan keupayaan manusia mendalami ilmu serta berfikir secara kritis.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir berkata, peranan ahli akademia tidak seharusnya terbatas kepada pengajaran di bilik kuliah, penyelidikan dan penerbitan jurnal, sebaliknya perlu berada di barisan hadapan dalam memahami cabaran semasa serta menawarkan penyelesaian kepada masyarakat.

Menurutnya, kecemerlangan akademik tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah penerbitan, geran penyelidikan atau kedudukan dalam penarafan antarabangsa, tetapi sejauh mana ilmu dan kepakaran yang dimiliki memberi manfaat kepada kehidupan manusia.

“Kita memerlukan sarjana yang bukan sahaja menguasai bidang kepakaran masing-masing, tetapi turut mempunyai keberanian intelek, kejujuran akademik dan kepekaan terhadap persoalan besar yang sedang dihadapi negara.

“Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana ilmu dan kepakaran tersebut dapat memberikan manfaat kepada kehidupan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-17 di sini, malam tadi.

Zambry berkata, perkembangan AI generatif turut membawa cabaran baharu apabila pelajar kini semakin bergantung kepada teknologi berkenaan untuk mendapatkan maklumat dan jawapan, sekali gus berpotensi mengubah kedudukan pensyarah sebagai sumber utama ilmu.

Beliau turut membangkitkan pandangan dalam buku The New Dark Ages karya James Miller yang mengingatkan tentang kemunculan masyarakat pascaliterasi (post-literate society), iaitu kelompok yang mempunyai akses kepada maklumat tetapi semakin kurang kemampuan mendalami ilmu secara serius.

“Kalau dulu, sering kali kita tahu bahawa mereka yang menguasai ilmu ialah para profesor kita. Hari ini pelajar-pelajar kita sudah tidak lagi menganggap profesor itu sebagai sumber utama ilmu mereka. Mereka memburu guru yang baharu, iaitu guru yang mereka panggil guru ChatGPT,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan institusi pendidikan tinggi supaya terus melahirkan graduan yang mempunyai kemampuan berfikir, berkomunikasi dengan baik serta memiliki nilai kemanusiaan.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pencapaian ahli akademia dan penyelidik tempatan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa membuktikan keupayaan intelektual rakyat Malaysia mampu bersaing dengan ilmuwan terkemuka dunia.

Katanya, ramai ahli akademia daripada universiti tempatan turut tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia (World’s Top 2% Scientists), berdasarkan pangkalan data saintis yang dibangunkan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Elsevier.

Beliau berkata, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian individu atau institusi, sebaliknya kebanggaan seluruh negara.

Zambry turut menyifatkan kehadiran pelajar antarabangsa ke Malaysia sebagai bukti keyakinan terhadap sistem dan kualiti pendidikan tinggi negara.

Menurutnya, Malaysia bersama Singapura merupakan antara destinasi utama pendidikan tinggi di rantau ASEAN yang mendapat perhatian pelajar antarabangsa.

Justeru, beliau menggesa universiti tempatan terus memperkukuh kualiti pendidikan dan membina keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap institusi pengajian tinggi negara.

Pada majlis sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima AAN Ke-17 dan berharap pengiktirafan itu menjadi dorongan untuk terus menghasilkan karya bermutu serta memberi inspirasi kepada generasi akademia akan datang.

“Kita mahu melahirkan sarjana yang bukan sahaja mencipta kecemerlangan peribadi dunia, tetapi membina kegemilangan untuk bangsanya, sarjana yang mampu menggapai di langit dan tetap mengakar di bumi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles