KLUANG: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden pencerobohan siber yang menyebabkan lapan skrin paparan diod pemancar cahaya (LED) di sekitar bandar ini menayangkan video lucah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun hari ini sebelum mendapati kakitangan pengadu memaklumkan mengenai pencerobohan sistem berkenaan.
Pengadu turut menerima rakaman tangkap layar dan video paparan lucah menerusi WhatsApp sebelum menghubungi pembekal bagi mendapatkan pengesahan.
Bekalan kuasa kemudian diputuskan bagi menghentikan paparan terbabit.
Bahrin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada polis.
Terdahulu, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) mengesahkan sistem paparan LED miliknya digodam sehingga memaparkan kandungan lucah, selain memohon maaf atas kebimbangan yang dicetuskan dalam kalangan masyarakat.










