KUALA LUMPUR: Pendirian Bersatu terhadap enam Ahli Parlimennya yang menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan kini dipersoalkan apabila tindakan itu dilihat bercanggah dengan keputusan parti memecat enam bekas wakil rakyatnya pada 2024 kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden Bersatu yang digantung keahliannya, Datuk Seri Ronald Kiandee, mempersoalkan sama ada parti itu akan mengenakan tindakan tatatertib yang sama terhadap kumpulan berkenaan, termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut menandatangani perjanjian itu.
Menurut Ahli Parlimen Beluran itu, Bersatu sebelum ini mengambil tindakan tegas terhadap enam bekas Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Anwar sehingga keahlian mereka dilucutkan.
Justeru, beliau menegaskan prinsip sama sepatutnya terpakai kepada enam Ahli Parlimen parti itu yang terlibat dalam pemeteraian CSA bersama kerajaan.
“Kalau ikut prinsip yang sama, sepatutnya keahlian keenam-enam mereka ini juga terhenti dengan sendirinya, termasuk presiden sendiri. Barulah konsisten!
“Kalau tidak, yang enam terdahulu itu kenalah dihidupkan semula keahlian mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, lima lagi wakil rakyat Bersatu yang menandatangani perjanjian itu ialah Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Perjanjian berkenaan turut ditandatangani Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat pada 2024 selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan.
Mengulas lanjut, Kiandee secara sinis mengucapkan tahniah kepada Bersatu atas pendirian yang disifatkannya semakin tidak konsisten.
Beliau turut menyindir dengan berharap semua Ahli Parlimen terbabit sempat menikmati manfaat peruntukan kerajaan sebelum penghujung tahun ini.
Dalam masa sama, Kiandee membangkitkan persoalan mengenai waktu pemeteraian CSA itu, termasuk kemungkinan kaitannya dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kalau benar, apa kaitannya dengan alasan perjuangan dan prinsip yang selama ini dipertahankan?” soalnya.










