SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pempengaruh media sosial Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran ganti rugi RM220,000 kepada pendakwah bebas Ebit Lew.
Susulan keputusan itu, Caprice diperintahkan membayar jumlah berkenaan serta-merta ke dalam akaun peguam Ebit Lew.
Mahkamah turut memerintahkan Caprice membayar kos sebanyak RM2,000.
Pada 17 Ogos lepas, Mahkamah Sesyen memutuskan Caprice bertanggungjawab memfitnah Ebit Lew menerusi tujuh kenyataan dalam podcast dan klip video.
Mahkamah kemudian memerintahkan Caprice membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 serta kos RM20,000 kepada Ebit Lew.
Selain itu, beliau turut diperintahkan memohon maaf dan memadamkan tujuh kenyataan berkenaan dalam tempoh 48 jam.
Caprice sebelum ini menyatakan hasrat untuk merayu keputusan mahkamah berkenaan.










