Ronald Tak Ikut Hajiji, Mahu Bina Semula Bersatu Sabah

KUALA LUMPUR: Tindakan keluar parti oleh sekumpulan ahli yang diketuai bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak akan menjejaskan Bersatu Sabah terutama di peringkat akar umbi.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dengan memaklumkan beliau akan membina semula Bersatu Sabah.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran itu berkata, beliau tidak akan mengikut jejak langkah Hajiji serta kumpulannya.

“Terpulang kepada mereka (pemimpin keluar parti) untuk memberikan apa-apa alasan (keluar parti) tetapi ahli parti (Bersatu) di Sabah berhak membuat keputusan mereka sendiri. Terpulang kepada mereka (ahli Bersatu Sabah) untuk pilih platform yang mana.

“Saya tegaskan juga di sini Bersatu akan kekal di Sabah dan kita akan binanya kembali,” katanya.

Hajiji, yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan meninggalkan parti itu. tetapi terus kekal di bawah GRS.

GRS, yang sebelum ini terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Sabah.

Ronald bagaimanapun enggan mengulas mengenai status Bersatu dalam GRS.

Tindakan Hajiji dan kumpulannya dikritik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang meluahkan rasa kesal dengan Bersatu Sabah yang mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Saifuddin yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang berkata Sabah belum meluluskan Akta Anti Lompat Parti, justeru mereka yang terlibat masih boleh mengambil keputusan sedemikian.

“Saya kesal tindakan dilakukan teman-teman di Sabah ini kerana mereka dahulunya memenangi kerusi itu atas nama Bersatu tetapi saya difahamkan Bersatu Sabah masih wujud kerana ada Ahli-Ahli Parlimen dan pimpinan yang akan meneruskan perjuangan parti di negeri itu. Di Pahang saya ingin tegaskan Bersatu tetap kekal dan utuh serta kita tidak berganjak dari segi sokongan kepada parti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles