SEREMBAN3 Penduduk Taman Bandar Senawang gempar selepas menemukan longgokan naskhah al-Quran yang dipercayai dibakar di tepi padang bola taman berkenaan, pagi semalam.
Kejadian disedari kira-kira jam 8.40 pagi selepas seorang penduduk memaklumkan penemuan itu dalam kumpulan WhatsApp penduduk sebelum gambar lokasi kejadian dikongsikan.
Bendahari Surau Al-Insaniah Taman Bandar Senawang, Mohd Syafali Izwan Gamal Nasir berkata, beliau segera ke lokasi selepas menerima maklumat berkenaan.
Menurutnya, pemerhatian mendapati longgokan itu dipercayai baru dibakar berdasarkan kesan jelaga, sisa helaian serta tulisan al-Quran yang masih kelihatan.
“Kami kemudian menghubungi polis dan anggota datang ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Pada masa sama, kami mendapati dua naskhah al-Quran bersaiz besar yang biasanya digunakan imam surau hilang sejak Rabu lalu,” katanya.
Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan surau dan madrasah bagaimanapun tidak menunjukkan individu yang mengambil naskhah berkenaan.
Katanya, terdapat persamaan tulisan pada helaian al-Quran yang ditemukan di lokasi dengan naskhah yang hilang dari surau, selain beberapa naskhah lain dalam pelbagai saiz turut ditemukan.
“Kami percaya al-Quran itu mungkin diambil dari beberapa lokasi sebelum dibakar di situ kerana difahamkan sebuah masjid berhampiran turut kehilangan naskhah al-Quran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Katanya, satu sampel kesan pembakaran al-Quran turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Forensik bagi tujuan analisis.
“Pelupusan sisa kebakaran al-Quran akan diuruskan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai,” katanya.










