KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan keterbukaan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu membabitkan Felda, termasuk kerugian yang dianggarkan mencecah RM9 bilion.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang siasatan perlu dilaksanakan secara telus dan berasaskan bukti, bukannya bertujuan menganiaya atau mengaibkan mana-mana pihak.
Menurut Zahid, jumlah kerugian berkenaan tidak wajar dipandang ringan dan sekiranya terdapat bukti kukuh mengenai salah laku, pihak yang bertanggungjawab perlu berdepan tindakan undang-undang.
“Biarlah tanggungjawab ini diambil oleh perdana menteri untuk melakukan siasatan walaupun mantan pengerusi Felda telah menjalani hukuman,” katanya selepas menghadiri Ekspo Pelancongan & Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Zahid turut berpandangan siasatan terhadap Felda tidak seharusnya hanya bergantung kepada audit pengurusan, sebaliknya perlu disokong audit forensik bagi meneliti secara terperinci bagaimana kerugian berlaku serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Pada masa sama, beliau menegaskan kebajikan kira-kira 225,000 peneroka Felda dan generasi mereka mesti menjadi keutamaan dalam sebarang tindakan susulan.
Katanya, jumlah mereka yang mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan Felda kini dianggarkan sekitar 1.8 juta orang, sekali gus menjadikan kepentingan agensi itu jauh lebih besar daripada sekadar soal pengurusan kewangan.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan akan mendedahkan laporan pasukan petugas khas berkaitan Felda dalam masa terdekat.
Laporan berkenaan antara lain dijangka menyentuh legasi pelbagai masalah yang diwarisi agensi berkenaan.
Anwar berkata kerajaan ketika ini hanya menunggu hasil siasatan pasukan petugas khas sebelum laporan itu diumumkan kepada umum.
Dalam perkembangan berasingan, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Malaysia perlu mengubah pendekatan terhadap sektor pelancongan Islam dengan menawarkan pengalaman lebih menyeluruh kepada pelancong.
Katanya, pelancongan Islam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada promosi masjid atau makanan halal, sebaliknya perlu merangkumi pelbagai pengalaman dan produk pelancongan yang bersesuaian.
Beliau berkata permintaan dalam segmen pelancongan Muslim semakin berkembang, khususnya membabitkan pelancong dari Asia Barat, sekali gus membuka peluang besar kepada Malaysia untuk menarik mereka sepanjang tahun.
“Malaysia mempunyai potensi cukup besar dalam pelancongan Islam ini. Bukan hanya pada peristiwa-peristiwa tertentu seperti Hari Raya Korban atau Aidilfitri atau Ramadan, tetapi sepanjang tahun kita boleh menghidangkan dan menawarkan pelbagai pakej pelancongan Islam,” katanya.
Antara idea yang boleh diteroka, katanya, termasuk pakej pelancongan berasaskan kapal persiaran yang menyediakan pelbagai aktiviti dan pengalaman bercirikan Islam sepanjang perjalanan.
Namun, beliau menegaskan pendekatan tersebut perlu dilaksanakan secara berhikmah tanpa menyentuh atau mengubah pegangan akidah pelancong yang menyertai pakej berkenaan.










