JASIN: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan hubungan beliau bersama dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada dalam keadaan baik dan tidak terjejas.
Beliau yang juga ADUN Merlimau berkata, sebarang dakwaan atau cubaan untuk menggambarkan wujudnya perpecahan antara mereka hanya mencetuskan persepsi negatif terhadap hubungan dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka.
Menurutnya, selain beliau, dua lagi ADUN yang sering dikaitkan dengan isu berkenaan ialah ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
“Hubungan kami tiga YB dengan Ketua Menteri sangat-sangat baik. Insya-Allah, itulah ketua kami dan ketaatan serta kesetiaan kami kepada beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah DUN yang diketuai Ab Rauf di Alor Gajah dan Jasin, hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah poster di media sosial yang mendakwa Akmal, Helmy dan Khaidhirah sebagai antara individu yang menaikkan UMNO Melaka, selain cuba membayangkan seolah-olah sokongan rakyat terhadap kepimpinan Ab Rauf semakin berkurangan.
Hantaran berkenaan turut mempertikaikan prestasi Ab Rauf sebagai Ketua Menteri serta membuat perbandingan antara pendekatan beliau dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Bagaimanapun, kesahihan serta pemilik asal hantaran terbabit tidak dapat dipastikan.
Akmal yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, usaha untuk mencetuskan persepsi mengenai perpecahan dalam sesebuah pasukan adalah perkara yang lazim berlaku, khususnya apabila melibatkan hubungan politik.
Katanya, beliau dan dua lagi ADUN berkenaan tidak terpengaruh dengan cubaan tersebut dan kekal memberikan sokongan kepada kepimpinan Ab Rauf.
“Orang memang akan suka tengok kita berpecah, biasalah itu. Tapi sejujurnya, hubungan kami sangat baik,” katanya.
Sementara itu, Mohd Noor Helmy sebelum ini turut menyuarakan rasa tidak senang terhadap pihak yang didakwa cuba membangkitkan kebencian terhadap kepimpinan Ab Rauf.
Beliau menggesa pihak berkenaan menghentikan tindakan membuat perbandingan tersebut dan menegaskan kepimpinan UMNO Melaka kekal bersatu di belakang Ketua Menteri.
“Tak kisahlah apa niat sekalipun, hentikan kerana kepimpinan UMNO Melaka ‘solid’ di belakang Ab Rauf,” katanya.










