KL, Selangor Laksana Lima Tindakan Tangani Banjir Di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan bersetuju melaksanakan lima tindakan segera bagi mengurangkan insiden banjir yang kerap melanda penduduk di sekitar Lembah Klang.

Langkah berkenaan dicapai menerusi satu kenyataan bersama oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan dasar yang merangkumi pengurusan tanah, kapasiti takungan, ruang hijau, pembangunan mampan dan pengaliran air.

Amirudin dan Hannah menegaskan, Selangor dan Kuala Lumpur perlu menggembleng tenaga bagi menguruskan saliran air dari kawasan Hulu Selangor yang mengalir melalui Kuala Lumpur sebelum tiba di kawasan selatan.

“Keperluan mendesak ini didorong faktor bahawa tiga daripada 10 rakyat Malaysia merupakan penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur, selain rakyat di kedua-dua kawasan ini menyumbang 41.7 peratus kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.

“Keutamaan kedua-dua pentadbiran adalah untuk mengurangkan risiko banjir, mengukuhkan daya tahan bandar dan mengurangkan keresahan penduduk apabila musim hujan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui perancangan yang lebih proaktif, tersusun dan bersepadu,” kata mereka dalam kenyataan bersama itu.

Mengulas mengenai tindakan pertama, kenyataan itu memaklumkan satu mesyuarat teknikal akan diadakan dalam tempoh dua minggu bagi memperincikan lokasi, skop projek, anggaran kos, sumber pembiayaan dan kaedah pelaksanaan.

Perincian awal akan disediakan sebelum sesi Parlimen akan datang dan pembentangan Belanjawan 2027.

Tindakan kedua dan ketiga pula melibatkan kajian kapasiti Empangan Batu serta Empangan Klang Gate bagi menilai keupayaannya untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, selain pengenalpastian lokasi baharu bagi pembinaan kolam takungan banjir di kawasan hulu sungai.

“Bagi tindakan keempat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mengenal pasti tiga kolam sedia ada untuk dinaik taraf iaitu Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong.

“Kawasan kolam di Bukit Lagong yang terletak dalam hutan simpan perlu dinyahwartakan bagi membolehkan ia digunakan sebagai kolam takungan.

“Langkah terakhir melibatkan penyelarasan kerja pengorekan sungai dan pembuangan kelodak antara JPS Selangor dan JPS Kuala Lumpur. Pihak JPS Kuala Lumpur turut membantu mengenal pasti tapak khas seluas 30 ekar di Selangor bagi pembuangan sisa korekan kelodak berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Wilayah Persekutuan akan meneruskan penyelarasan bersama agensi teknikal bagi memastikan pengurusan banjir, pembangunan bandar dan perlindungan ruang hijau dirancang secara seimbang serta mampan.

BBerkaitan

Latest articles