GEORGE TOWN: Peruntukan bagi pembinaan krematorium Hindu moden di Bagan di sini ditambah sebanyak RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan dana untuk projek berkenaan meningkat kepada RM2.5 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan itu selepas kos pelaksanaan projek berkenaan didapati melebihi peruntukan asal RM1.5 juta yang diluluskan sebelum ini.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP), RSN Rayer berkata kemudahan berkenaan amat diperlukan masyarakat Hindu, khususnya penduduk di Seberang Perai.
Menurutnya, krematorium tersebut bakal menjadi kemudahan krematorium elektrik moden kedua di Pulau Pinang selepas kemudahan sedia ada di Batu Lanchang.
“Kelulusan tambahan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan MADANI serta Perdana Menteri dalam memastikan keperluan masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama diberikan perhatian secara adil,” katanya pada sidang media di tapak projek di Jalan Siram, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Kumaran Krishnan.
Kumaran berkata, pembinaan kemudahan itu akan memberi ruang yang lebih teratur, selesa dan bersesuaian kepada masyarakat Hindu untuk melaksanakan upacara terakhir mengikut adat serta kepercayaan agama mereka.
Katanya, kewujudan krematorium berkenaan juga dapat mengurangkan kebergantungan penduduk Hindu di Seberang Perai terhadap kemudahan yang terletak lebih jauh.
“Ini merupakan satu kemudahan jangka panjang untuk manfaat masyarakat Hindu, khususnya di Seberang Perai dan kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata tambahan peruntukan itu diperoleh hasil kerjasama bersama Lim dan Rayer yang mengemukakan permohonan kepada Anwar bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Menurut Kumaran, proses tender bagi pembinaan krematorium berkeluasan kira-kira 4,000 kaki persegi itu kini sudah dibuka.
Projek berkenaan dijangka disiapkan sepenuhnya pada pertengahan tahun depan dan seterusnya dapat dimanfaatkan masyarakat Hindu di kawasan berkenaan.










