RCI TH Syor Audit Forensik Pelaburan Bernilai Tinggi, Bonus Kakitangan Berlebihan Perlu Dituntut Semula

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan audit forensik dilaksanakan terhadap beberapa pelaburan utama TH bagi mengenal pasti punca keputusan pelaburan yang didakwa menyumbang kepada kemerosotan ketara nilai aset institusi itu.

Dalam Laporan RCI TH yang didedahkan hari ini, siasatan forensik disaran meliputi beberapa pelaburan berprofil tinggi, termasuk PT TH Indo Plantations (THIP), Emrail Sdn Bhd, Wellspring Worldwide Limited dan Deru Semangat Sdn Bhd (DSSB).

Turut disenaraikan ialah Trurich Resources Sdn Bhd, Abraj Sdn Bhd, Putrajaya Perdana Berhad, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd serta Alfareeda Residential Fund.

Selain itu, RCI turut mengesyorkan audit forensik dijalankan ke atas TH Plantations Berhad (THP), TH Properties Sdn Bhd, Alam Maritim Resources/TH Marine, TH Hotel & Residences Sdn Bhd (THHR) serta FGV Berhad.

Menurut laporan setebal 211 muka surat itu, audit berkenaan penting bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan dibuat sehingga menyebabkan kedudukan aset TH merosot dengan serius.

Pada masa sama, RCI menggesa amalan pemberian bonus yang disifatkan terlalu tinggi kepada kakitangan dihentikan serta-merta.

Malah, suruhanjaya itu mengesyorkan usaha diambil untuk mendapatkan semula bonus yang telah dibayar kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan TH Properties kerana ia didakwa diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

RCI turut menegaskan penglibatan anggota Lembaga dan pengurusan TH dalam pentadbiran syarikat-syarikat subsidiari perlu dihadkan bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada tanggungjawab di TH, selain mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Dalam aspek kawal selia pula, laporan itu berpandangan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak seharusnya menjadi pengawal selia TH.

Bagaimanapun, jika pengawasan masih dianggap perlu, RCI mencadangkan ia hanya dihadkan kepada aspek rizab dan pengurusan kecairan, tanpa tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

BBerkaitan

Latest articles