KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, memuji keputusan kerajaan mengembalikan kadar pemilikan ekuiti Bumiputera kepada 30 peratus bagi pembelian hartanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perbadanan pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bernilai lebih RM20 juta.
Beliau berkata, keputusan itu membatalkan dasar yang ditetapkan pada 18 November 2025, yang sebelum ini mewajibkan pemilikan Bumiputera sebanyak 50 peratus bagi syarikat swasta yang ingin membeli hartanah berkenaan.
Menurutnya, banyak GLC dan GLIC dimiliki oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau latar belakang, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan sepatutnya mengamalkan pendekatan yang lebih inklusif dalam pelaksanaan dasar ekonomi.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar diberikan penghargaan kerana mendengar suara rasional rakyat untuk mengembalikan kadar pemilikan ekuiti Bumiputera kepada 30 peratus, yang telah saya bangkitkan berulang kali sejak Mei tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Lim berkata, dalam jawapan kepada soalan Parlimennya pada 20 Oktober 2026, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir memaklumkan bahawa kadar pemilikan ekuiti Bumiputera itu dikembalikan kepada 30 peratus selepas kajian semula yang turut melibatkan rundingan dengan pihak berkepentingan.
Beliau berkata, keputusan tersebut berpotensi meningkatkan keyakinan orang ramai, komuniti perniagaan dan pelabur terhadap pendekatan kerajaan dalam membuat keputusan ekonomi.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan pertimbangan dasar ekonomi bukan sahaja mengambil kira faktor kaum, malah turut menitikberatkan nilai terbaik.
“Keputusan ini diharapkan dapat meredakan kebimbangan sesetengah pihak bahawa peningkatan kuota ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus merupakan langkah awal untuk menaikkan kadar pemilikan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi semua dasar kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Lim berkata, usaha memupuk perpaduan nasional, kestabilan dan keharmonian menjadi asas kepada pendirian Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan kuota etnik sebanyak 30 peratus dalam kerajaan dan dasar awam.
Beliau berkata, PH berusaha menyediakan peluang yang sama rata kepada semua rakyat Malaysia dalam kerangka dasar berkenaan.
“Dengan keputusan ini, harapan untuk rakyat Malaysia masih ada,” katanya.










