KUALA LUMPUR: Kerajaan berpandangan penyediaan tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi pembangunan perumahan baharu perlu berdasarkan keperluan penduduk setempat, dan bukannya diwajibkan bagi setiap projek di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pendekatan berasaskan keperluan lebih bersesuaian berbanding mewujudkan kewajipan menyeluruh kepada semua pemaju tanpa mengambil kira skala pembangunan dan komposisi penduduk.
Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia kini sedang memuktamadkan Draf Garis Panduan Perancangan Rumah Ibadat Bukan Islam (GPP RIBI) sebagai rujukan bagi penyediaan dan pembangunan rumah ibadat berkenaan.
“Dalam konteks Malaysia, Kerajaan berpandangan bahawa mekanisme perancangan yang berasaskan keperluan adalah lebih bersesuaian berbanding mewujudkan kewajipan secara blanket kepada semua pemaju bagi setiap projek perumahan di seluruh negara.
“Ini kerana urusan tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan pelaksanaan pembangunan pula melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan serta proses Kebenaran Merancang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji (PH-Jelutong) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada undang-undang baharu boleh digubal bagi mewajibkan semua pemaju menyediakan tapak RIBI dalam setiap projek pembinaan rumah baharu di seluruh negara.
Nga berkata, kerajaan sentiasa komited memelihara keharmonian masyarakat berbilang agama serta menghormati kebebasan beragama selaras dengan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan mengambil kira keperluan RIBI sebagai sebahagian daripada kemudahan masyarakat yang perlu dirancang secara teratur mengikut keperluan penduduk dan konteks pembangunan setempat.
Menurutnya, draf garis panduan itu merangkumi perancangan bagi tokong, kuil, gereja dan gurdwara, termasuk aspek keperluan penduduk, saiz serta lokasi tapak, kesesuaian guna tanah, topografi, utiliti, infrastruktur, aksesibiliti dan keselamatan.
Ia turut memperincikan kawalan lalu lintas, reka bentuk serta hubungan perancangan antara RIBI dengan rumah ibadat Islam, termasuk aspek keharmonian antara komuniti.
Bagi pembangunan baharu, penyediaan RIBI dicadangkan berdasarkan keperluan penduduk dan komposisi agama setempat, selain mengambil kira jumlah penduduk, rumah ibadat sedia ada serta keperluan sebenar kawasan berkenaan.
“Penyediaannya perlu dirancang berdasarkan unjuran penduduk dan keperluan kemudahan masyarakat supaya tanah dapat digunakan secara optimum dan pembangunan RIBI benar-benar memenuhi keperluan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata, draf garis panduan berkenaan turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa RIBI di peringkat negeri sebagai platform untuk menasihati kerajaan negeri dan PBT.
Jawatankuasa itu juga dicadangkan menjadi platform perundingan antara wakil pelbagai agama bukan Islam berhubung perancangan dan pembangunan rumah ibadat, tempat perkuburan serta urusan keagamaan termasuk perayaan dan istiadat.
Beliau berkata, matlamat memastikan keperluan RIBI dalam pembangunan baharu dapat dipenuhi boleh dicapai melalui pengukuhan dasar, garis panduan perancangan, penyediaan rizab dalam rancangan pemajuan serta syarat Kebenaran Merancang.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan Draf GPP RIBI dilaksanakan secara terancang dan memenuhi keperluan setempat, tanpa menjejaskan bidang kuasa Kerajaan Negeri serta kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.










