Kemajuan Pembinaan Lima Kapal LCS Capai 80.72 Peratus

KUALA LUMPUR: Kemajuan keseluruhan pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencapai 80.72 peratus setakat 25 Sept 2026, iaitu kelewatan 9.19 peratus berbanding sasaran 89.91 peratus.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dari segi kewangan, sebanyak RM8.96 bilion atau 79.82 peratus daripada nilai kontrak berjumlah RM11.227 bilion telah dituntut oleh Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS).

Beliau berkata, kelima-lima kapal itu kini dibina secara serentak pada tahap kemajuan berbeza, dengan LCS1 mencatatkan kemajuan tertinggi sebanyak 86.78 peratus, diikuti LCS2 (82.76 peratus), LCS3 (75.84 peratus), LCS4 (65.48 peratus) dan LCS5 (56.82 peratus).

“Jadual penyerahan yang dikemukakan oleh LUNAS masing-masing adalah April 2027 bagi LCS1, Ogos 2027 bagi LCS2, Disember 2027 bagi LCS3, Ogos 2028 untuk LCS4 dan April 2029 bagi LCS5,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan kemajuan fizikal dan kewangan lima LCS, tarikh penyerahan setiap kapal dalam keadaan sedia tempur, status penggantian peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM), kos tambahan serta pihak yang bertanggungjawab sekiranya jadual baharu gagal dipatuhi.

Mohamad berkata, kapal pertama, KD Maharaja Lela (LCS1), kini memasuki fasa Sea Trial di peringkat limbungan oleh LUNAS bagi menguji dan mengesahkan prestasi serta fungsi sistem kapal sebelum menjalani Sea Acceptance Trial (SAT) bersama TLDM.

Menurutnya, kapal itu sebelum ini telah melalui beberapa Harbour Acceptance Trial (HAT) dan pelayaran awal bagi menguji sistem utama termasuk jentera, jana kuasa serta sistem pendorongan.

Berhubung penggantian NSM, beliau berkata, Kementerian Pertahanan kini berada pada peringkat akhir meneliti tiga pilihan peluru berpandu permukaan ke permukaan (Surface-to-Surface Missile atau SSM) yang dikemukakan oleh TLDM.

“Pertimbangan meliputi keperluan operasi, kesesuaian integrasi dengan kapal, implikasi kos dan tempoh perolehan.

“Keputusan muktamad akan dibuat setelah opsyen dipersetujui dan perjanjian perolehan dimeterai,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan kekal komited memastikan pelaksanaan projek LCS dipantau secara berterusan bagi membolehkan pembinaan, pengujian dan penyerahan kapal dilaksanakan dengan jayanya mengikut keperluan yang ditetapkan.

Langkah itu penting bagi memastikan kepentingan operasi TLDM serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles