KUALA LUMPUR: Pengalaman pelaburan dalam projek pembangunan semula Battersea Power Station di London yang mengalami kerugian perlu dijadikan pengajaran agar keputusan pelaburan di luar negara tidak dibuat secara terburu-buru.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai pelaburan awal yang terlalu tinggi menjadi antara faktor kerugian projek berkenaan, meskipun usaha memulihkannya masih diteruskan.
Beliau mengakui teguran Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berhubung keperluan memperketat pertimbangan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mempunyai asas yang kukuh.
“Rasional yang dibangkitkan itu tepat. Mengapa kita agak terlalu terburu-buru untuk melabur di luar,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.
Hassan sebelum itu meminta penjelasan mengenai jumlah dana yang dilaburkan GLIC dan GLC dalam projek berkenaan, yang mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk dibangunkan semula, serta manfaatnya kepada ekonomi Malaysia.
Menurut Anwar, kerajaan kini memberi penekanan lebih besar terhadap pelaburan domestik bagi memastikan dana institusi berkaitan turut menyumbang kepada pembangunan negara.
Katanya, sekurang-kurangnya 20 peratus pelaburan institusi berkenaan ditetapkan untuk disalurkan ke dalam negara sejak tiga tahun lalu, dengan peratusan itu boleh ditingkatkan mengikut keupayaan ekonomi.
Beliau berkata, kerajaan juga merancang memanfaatkan dana GLIC berjumlah RM150 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang bagi merancakkan aktiviti ekonomi domestik.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan kerugian daripada sesuatu pelaburan tidak wajar dijadikan gambaran keseluruhan prestasi institusi terbabit kerana terdapat pelaburan lain yang memberikan pulangan tinggi.
Beliau mengambil contoh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang mencatatkan keuntungan RM8 bilion tahun ini, meskipun berdepan kerugian dalam pelaburan tertentu.
“Jangan kita ambil kegagalan dalam eFishery mewakili keseluruhan KWAP,” katanya.










