Tuan Ibrahim: Bersatu Patut Keluar PN, Bukan Rosakkan Gabungan

KOTA BHARU: Bersatu disaran keluar daripada Perikatan Nasional (PN) daripada terus mengambil tindakan yang boleh melemahkan gabungan itu, tegas Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, tindakan Bersatu mengadu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sehingga membawa kepada pembatalan pendaftaran PN, sebelum melahirkan rasa sedih terhadap keputusan itu, menimbulkan persoalan.

“Adalah lebih baik Bersatu menarik diri daripada PN. Mereka yang membuat aduan kepada RoS, tetapi sekarang mereka pula bersedih apabila RoS membatalkan pendaftaran PN,” katanya.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, sebarang tindakan terhadap Bersatu berhubung dakwaan melanggar kepentingan gabungan akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi PN.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan prosiding tatatertib terhadap Bersatu akan dimulakan, dengan parti itu diberi peluang menjawab pertuduhan sebelum keputusan lanjut dibuat.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mempersoalkan asas tindakan berkenaan dan menegaskan partinya tidak melakukan sebarang kesalahan, selain mendakwa belum menerima surat rasmi daripada PN.

Krisis antara kedua-dua parti itu memuncak selepas RoS membatalkan pendaftaran PN susulan aduan Bersatu berkaitan pengecualian parti itu daripada mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan RoS itu, sekali gus membolehkan PN meneruskan aktivitinya sementara proses undang-undang berjalan.

BBerkaitan

Latest articles